July 27, 2024

Dr Akmal junjung titah Agong

Dr Akmal junjung titah Agong


KUALA LUMPUR – Ketua Pemuda UMNO menjunjung titah di atas nasihat Yang di-Pertuan Agong untuk menjaga keharmonian negara dan memelihara kesucian agama Islam.

Dr Muhammad Akmal Saleh berkata, langkah itu agar polemik yang berlaku dapat diredakan.

“Didoakan semoga KDYMM Yang di-Pertuan Agong dikurniakan kekuatan dan kesihatan serta terus kekal bersemayam di singgahsana dan dapat memerintah negara dengan penuh kedaulatan dan kebesaran. Daulat Tuanku,” kata Dr Akmal dalam hantaran di Facebook.

Pagi tadi, beliau bersama-sama Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Ketua Menteri Melaka yang juga Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Melaka , Datuk Seri Rauf Ab Yusoh dititah mengadap Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim di Istana Negara.

Dr Akmal adalah pemimpin yang paling lantang bersuara isu kalimah Allah pada stoking yang dijual di KK Mart dan melancarkan boikot pada pasar raya tersebut.

Beliau ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, untuk siasatan di bawah Akta Hasutan 1948 dan Akta Komunikasi Multimedia 1998 selepas polis menerima dua laporan berhubung ucapan beliau berhubung isu sama.

Sesi mengadap bersama baginda pagi tadi bertumpu kepada perkembangan semasa berkaitan isu-isu sensitiviti agama dan kaum.

“Saya ingin menasihati semua pihak untuk memberi tumpuan untuk mengajak rakyat ke arah perpaduan, bukannya perpecahan. Saya ingin melihat rakyat bersatu padu dengan harmoni,” titah Sultan Ibrahim.

“Saya berharap pemimpin politik tidak ekstrim dalam memberikan pandangan tentang isu-isu agama dan perkauman. Bukan hanya UMNO dan DAP, tetapi juga semua parti. Pemimpin mesti menjadi jambatan atau penghubung antara rakyat majmuk negara kita dengan contoh perilaku yang matang.

“Kejadian baru-baru ini sepatutnya membuka mata semua pihak bahawa semua lapisan rakyat mempunyai tanggungjawab menjaga perpaduan negara. Perpaduan yang jitu dalam kalangan rakyat akan menjadi pemangkin kepada kesejahteraan sejagat Malaysia. Menjelang Hari Raya yang mulia ini, bermaaf-maafanlah antara satu sama lain dan buka lembaran baharu,” titah baginda. – MalaysiaGazette



Source link

OR

Scroll to Top