July 27, 2024

Dua bank alami gangguan perkhidmatan diarah beri penjelasan

Dua bank alami gangguan perkhidmatan diarah beri penjelasan


PETALING JAYA: Bank Negara (BNM) meminta dua bank yang mengalami gangguan perkhidmatan untuk memberikan penjelasan mengenai punca menyebabkan insiden gangguan tersebut.

BNM dalam kenyataan berkata, kedua-dua bank itu juga perlu memberikan langkah-langkah pembetulan dan pencegahan yang dilaksanakan bagi mengelakkan isu sama berulang.

Susulan kejadian itu, BNM memandang serius gangguan yang mengakibatkan kesulitan kepada pelanggan.

Selain itu, kata kenyataan itu, kedua-dua bank berkenaan telah diarahkan untuk berkomunikasi dengan pelanggan yang terjejas termasuk menjawab segera sebarang aduan dan pertanyaan yang disebabkan oleh gangguan tersebut.

BNM berkata, semua institusi perbankan harus memastikan tahap ketersediaan perkhidmatan perbankan yang kukuh pada setiap masa.

“BNM akan mempertimbangkan tindakan penyeliaan atas bank-bank yang tidak memenuhi kehendak pengawalan dan penyeliaan,” katanya.

Pada pukul 4.14 petang, 8 April, CIMB Group Holdings Bhd menerusi hantaran di aplikasi X berkata, bank itu mengalami gangguan perkhidmatan berkala melibatkan CIMB Clicks, CIMB OCTO, FPX, MyDebit, Terminal Kredit dan Layan Diri.

Pada pukul 7.10 malam hari yang sama, bank itu mengumumkan semua perkhidmatannya kembali pulih.

Sementara itu, Maybank dalam satu hantaran di aplikasi X hari ini turut memaklumkan ia mengalami gangguan yang menjejaskan perkhidmatan kad debit, perbankan dalam talian dan ATM sekitar 9.20 malam 5 April.

Maybank berkata perkhidmatan yang terjejas itu kembali beroperasi seperti biasa secara berperingkat dan pulih sepenuhnya pada pukul 11.34 malam hari yang sama.- UTUSAN





Source link

OR

Scroll to Top