June 14, 2024

Lori sampah rosak brek rempuh 14 kenderaan


Shah Alam: Gara-gara brek tidak berfungsi, sebuah lori sampah merempuh 14 kenderaan yang berhenti di lampu isyarat persimpangan Lebuhraya Persekutuan/Lebuhraya Shahpadu di sini hari ini.

Bagaimanapun dalam kejadian kira-kira 1.30 tengah hari itu, pemandu lori warga tempatan berusia 41 tahun dan kesemua mangsa tidak mengalami kecederaan dan hadir ke balai polis bagi membuat laporan berhubung insiden terbabit.

Ketua Polis Daerah Klang Utara Asisten Komisioner Vijaya Rao berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu pada 2.33 petang dan siasatan awal mendapati insiden itu berlaku ketika lori sampah berkenaan dalam perjalanan dari arah Shah Alam ke Kapar.

Beliau berkata, lori sampah terbabit mengalami masalah brek kemudiannya telah melanggar kenderaan yang sedang berhenti di lampu isyarat terbabit.

“Pemandu lori itu menjalani ujian saringan air kencing dan disahkan bebas bahan terlarang.

“Lori terbabit akan dihantar ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) untuk pemeriksaan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Terdahulu, tular satu video di media sosial berhubung kejadian berkenaan sehingga menyebabkan berlaku sedikit kesesakan di jalan raya itu.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top