Sebut sahaja Drama Band, pastinya ramai peminat muzik tempatan mengenali kumpulan ini yang terus relevan sejak lebih satu dekad berada dalam industri.
Kejayaan bertahan sehingga hari ini membuktikan jenama Drama Band masih kukuh dan sentiasa menjadi pilihan penggemar muzik.
Memasuki tahun 2026, kumpulan yang dianggotai enam ahli ini bakal menghadiahkan sesuatu yang cukup bermakna menerusi penganjuran Konsert Drama 15 Tahun sebagai tanda penghargaan terhadap perjalanan seni mereka.
Ditubuhkan pada tahun 2010, nama Drama Band mula menyerlah selepas muncul Naib Juara pertandingan Hot FM Twisties Bingit sebelum terus mengukuhkan kedudukan dalam industri muzik.

Antara kejayaan terbesar mereka termasuklah kejayaan melayakkan diri ke pentas Anugerah Juara Lagu ke 30 dan 34 menerusi lagu popular Biarkanlah serta Drama.
Populariti kumpulan ini turut disokong dengan pelbagai pencalonan dalam acara berprestij lain seperti Anugerah Bintang Popular BH, Anugerah MeleTOP Era dan pelbagai pengiktirafan lain.
Konsert ulang tahun istimewa ini bakal berlangsung pada 31 Januari 2026 di RCD BIG Studio, Shah Alam. Persembahan tersebut dijangka tampil dengan pelbagai elemen kejutan, penampilan khas serta persembahan bertenaga yang mampu mengangkat adrenalin penonton yang hadir.

Konsert ini dianjurkan oleh Aepul Roza Enterprise dengan sokongan rasmi daripada Kementerian Komunikasi serta MyCreative Ventures. Menjelang konsert tersebut, pihak penganjur turut merancang siri jelajah promosi melibatkan 22 lokasi di seluruh negara sebagai usaha mendekati peminat.
Tiket konsert akan mula dijual bermula 11 Disember 2025 menerusi laman www.ticket2u.com/drama15tahun dengan beberapa pilihan kategori harga iaitu VIP Seat berharga RM208, Normal Seat RM158, Rockzone RM148 serta General Admission pada harga RM118.
Drama Band turut merakamkan penghargaan kepada semua rakan media yang terus menyokong mereka sepanjang 15 tahun perjalanan karier.
Maklumat lanjut boleh didapati di laman www.ticket2u.com/drama15tahun serta platform media sosial rasmi Drama Band untuk perkembangan terkini mengenai Konsert Drama 15 Tahun.






