am@hmetro.com.my
Taiping: Setiap kali hujan lebat, penduduk di Trong dan Bukit Gantang di sini dihantui dua kebimbangan utama iaitu berdepan banjir serta gangguan bekalan air tidak berjadual.
Antara kawasan kerap terjejas adalah Kampung Baru Jalan Pecah Batu, Taman Trong Bakti, Taman Trong Perdana, Taman Trong Indah, Taman Desa Trong Utama, Taman Trong Aman, Kampung Sungai Lubok, Kampung Datuk Rosli dan Kampung Wawasan.
Bagaimanapun, gangguan bekalan air yang lebih kerap berlaku berbanding musibah banjir melelahkan penduduk dengan kejadian terbaharu bulan lalu menjejaskan kira-kira 3,000 akaun pengguna seperti notis dikeluarkan Lembaga Air Perak (LAP).
Difahamkan, gangguan bekalan air berlaku setiap kali hujan lebat kerana operasi Loji Rawatan Air (LRA) Trong yang terpaksa dihenti tugas sementara akibat air keruh di kawasan muka sauk.
Penduduk Taman Trong Perdana, S Umadevi, 45, berkata, dia sudah berhadapan masalah bekalan air sejak 20 tahun menetap di kawasan perumahan itu.
“Kira-kira dua kali dalam sebulan akan berlaku gangguan air apabila hujan lebat, menyukarkan kami untuk mandi selain mengganggu rutin harian seperti memasak dan membasuh pakaian.
“Ada penduduk yang akan ambil air dari sungai berhampiran ketika bekalan terputus. Namun agak sukar untuk saya dan anak kerana kami hanya ada motosikal sahaja, tiada kereta untuk mengangkut air, maka tunggu sahajalah lori air sampai,” kata ibu tunggal itu.
K Tilaiselvan, 45, yang menetap di Taman Trong Aman pula berkata, dia baharu tiga bulan tinggal di kawasan itu bersama ibu bapa dan adik, namun sedia maklum mengenai masalah bekalan air ketika hujan.
Untuk itu katanya, mereka sekeluarga sentiasa menyimpan air untuk kegunaan kecemasan terutama apabila cuaca buruk, selain bergantung kepada tangki air dalam rumah yang dipasang siap pemaju.
“Jika tiada air, tempohnya boleh sampai separuh hari malah ketika bencana kepala air yang berlaku akhir tahun lalu hingga menyebabkan banyak kawasan di Trong banjir kilat, bekalan air terputus mencecah tiga hari berturut-turut.
“Saya dan keluarga sebelum ini menetap di kawasan estet, juga terletak di Trong dan disebabkan itu walaupun baru tiga bulan duduk di rumah ini, saya tahu dan maklum bagaimana keadaan masalah air yang membelenggu penduduk,” katanya.
Penduduk Taman Desa Trong, Nurul Atika Idayu Azari, 35, berkata, dia dan keluarganya akan mengambil air sungai apabila bekalan air bersih terputus dalam tempoh lama.
Katanya, sebagai peniaga pisang goreng, air adalah bekalan asas yang tidak boleh dikompromi dan boleh mengganggu operasi perniagaannya selain urusan rumah tangga.
“Biasanya kalau tiada air dari pagi memang saya tak buka gerai, jadi situasi itu memang menjejaskan rutin harian saya,” katanya yang mempunyai empat anak berumur empat hingga lapan tahun.
Ikuti penjelasan pihak berkuasa berhubung isu ini dalam terbitan Harian Metro esok.
© New Straits Times Press (M) Bhd






