Festival Jalanan sempena Perayaan Warisan George Town 2026 bermula dengan sambutan luar jangka, semalam apabila dianggarkan 30,000 pengunjung hadir pada hari pertama sekaligus melepasi sasaran awal 20,000 orang.
Jumlah kehadiran dijangka terus meningkat sehingga hari terakhir festival yang dijangka Selasa ini, dengan keseluruhan pengunjung dianggarkan mencecah 40,000 hingga 50,000 orang.
Festival kali ini menghimpunkan 43 pertubuhan komuniti yang mempersembahkan kepelbagaian budaya, makanan, seni persembahan, ritual dan amalan masyarakat di Tapak Warisan Dunia George Town.
Festival yang turut menarik perhatian pelancong luar negara itu bukan sekadar acara pelancongan, malah menjadi platform untuk menyemai kesedaran orang ramai mengenai kepentingan memelihara warisan dan identiti budaya George Town.
Penganjuran tahun ini lebih bermakna kerana George Town kini memasuki ulang tahun ke-18 sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO, sekali gus menjadi pemangkin kepada penganjur dan komuniti untuk terus mengetengahkan warisan dengan idea serta program baharu.-UTUSAN






