Washington: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengucapkan terima kasih kepada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) selepas badan induk itu menangguhkan penggantungan terhadap penyerang negara itu, Folarin Balogun, sekali gus membolehkan pemain berkenaan diturunkan menentang Belgium pada aksi pusingan 16 terbaik Piala Dunia, 8 pagi esok.
Balogun sebelum ini dijangka terlepas perlawanan berkenaan selepas dilayangkan kad merah ketika kemenangan 2-0 ke atas Bosnia-Herzegovina pada pusingan 32 terbaik akibat tindakan mengasari pertahanan lawan, Tarik Muharemovic.
Bagaimanapun, FIFA pada hari ini memaklumkan hukuman berkenaan ditangguhkan selama setahun berdasarkan Artikel 27 Kod Tatatertib badan itu.
“Terima kasih kepada FIFA kerana melakukan perkara yang betul dan membetulkan satu ketidakadilan besar,” kata Trump menerusi platform Truth Social.
Balogun menjadi antara tonggak penting AS sepanjang kejohanan ini, dan ketiadaannya dijangka memberi kesan besar kepada skuad tuan rumah bersama itu menjelang pertemuan penting dengan Belgium.
FIFA dalam kenyataan berasingan memaklumkan bahawa pelaksanaan penggantungan berkenaan ditangguhkan bagi tempoh percubaan selama setahun.
© New Straits Times Press (M) Bhd






