Dua gol pantas Milan benam Genoa

Dua gol pantas Milan benam Genoa


Genoa, Itali: AC Milan menang 2-1 ke atas Genoa dalam perlawanan Serie A dengan dua gol pantas pada separuh masa kedua menerusi Rafael Leao dan jaringan sendiri Morten Frendrup.

Kemenangan awal pagi tadi itu mengekalkan Milan di tangga kesembilan dengan 57 mata, enam mata di belakang Juventus yang berada di tempat keempat iaitu kedudukan terakhir untuk kelayakan Liga Juara-Juara Eropah (UCL) ketika berbaki tiga perlawanan.

Dengan dua pertembungan penting menentang Bologna bakal tiba, pertama dalam liga diikuti final Coppa Italia, Milan kelihatan pasif untuk sebahagian besar perlawanan, kurang kreativiti dan desakan sehingga lonjakan lewat permainan mengubah rentak.

“Kami sentiasa cuba memperbaiki diri. Kami bekerja di peringkat individu dan berkumpulan dan bekerja keras,” kata pengurus Milan, Sergio Conceicao, kepada wartawan.

“Pemain memberi tindak balas yang baik, ini menunjukkan kami mempunyai pasukan percaya pada apa kami lakukan di Milanello (pusat latihan Milan). Saya gembira dengan itu.”

Penjaga gol Milan, Mike Maignan, menjadi pemain terbaik dalam separuh masa pertama yang kebanyakannya dikuasai Genoa, melakukan beberapa penyelamatan penting untuk memastikan kedudukan kekal seimbang sehingga waktu rehat.

Milan mula menemui rentak mereka pada penghujung separuh masa pertama dan hampir membuka jaringan sebelum rehat, namun percubaan Christian Pulisic dinafikan penjaga gol Genoa, Nicola Leali.

Separuh masa kedua bermula dengan corak permainan agak lesu dengan hujan turun tanpa henti menyaksikan permainan kerap dihentikan akibat rawatan kecederaan.

Vitinha yang baru dimasukkan seminit sebelumnya, memberikan impak segera pada minit ke-61 apabila dia bergerak ke ruang dalam kotak penalti dan menyambut hantaran lintang sempurna dengan satu rembatan deras untuk meletakkan Genoa di hadapan.

Namun jaringan penyamaan daripada Leao hadir pada minit ke-76 menerusi rembatannya yang terkena pemain Genoa, Brooke Norton-Cuffy, sebelum masuk ke gawang.

Kurang dua minit kemudian, Milan melengkapkan kebangkitan mereka apabila pemain tengah Genoa, Frendrup dalam usaha mengeluarkan bola daripada kawasan bahaya tertampan ke gawang sendiri.

Dalam masa tambahan, Milan hampir menambah jaringan ketiga apabila Leao melepaskan rembatan padu yang memaksa Leali merebahkan badan untuk menyelamatkan gawangnya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top