am@hmetro.com.my
Kuala Terengganu: Seorang pensyarah kanan sebuah universiti dua kali mengalami kerugian akibat menjadi mangsa penipuan pelaburan kripto dan sindiket parcel scam.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, lelaki berusia 54 tahun itu mengalami kerugian RM162,170 membabitkan pelaburan kripto dan RM10,000 bagi kes percel scam.
Menurutnya, bagi kes penipuan kripto, mangsa pada 15 Julai berkenalan dengan seorang wanita Hong Kong di laman media sosial Tilmatch dan kenalannya itu memperkenalkan pelaburan cryptocurrency kepadanya.
Katanya, pada 19 Julai, mangsa berminat menyertai pelaburan itu dan mendaftar dalam pautan iaitu platform pelaburan.
“Bermula 19 hingga 25 Julai mangsa membuat lima transaksi bayaran ke platform pelaburan itu dengan jumlah RM162,170.
“Mangsa hanya menyedari diperdaya selepas mendapati tidak boleh mengeluarkan keuntungan dari platform itu tetapi masih diminta menambah modal,” katanya.
Beliau berkata, sumber kewangan adalah simpanan peribadi dan mangsa membuat laporan polis jam 5.07 petang semalam.
Azli berkata, pada 27 Julai lalu pula, kira-kira jam 7.15 pagi bertempat di kediamannya, mangsa berkenalan dengan individu yang dikenali sebagai Elizabeth di aplikasi TilMatch dan menjalinkan hubungan percintaan di alam maya.
Menurutnya, mangsa kemudian memberikan alamat kediamannya bagi memudahkan wanita itu membuat penghantaran barang ke Malaysia.
“Namun ada pihak menghubungi mangsa meminta dia membayar sejumlah wang kononnya kastam mengenalpasti ada wang yang dikirimkan kepadanya.
“Bagi menyelesaikan masalah itu, mangsa dikehendaki membuat pembayaran sebanyak RM8,500 namun dia hanya mampu membayar RM6,000 untuk pelepasan barang,” katanya.
Beliau berkata, ketika mangsa ingin membuat pembayaran baki tunggakan RM2,500 di sebuah mesin ATM di bandaraya ini, dia mendapati transaksi tidak boleh dilakukan.
Menurutnya, hasil semakan mangsa dengan pihak anti scam bank mendapati akaun pindahan wang itu terbabit dalam aktiviti penipuan.
Katanya, selepas itu mangsa menyedari dirinya diperdaya hingga mengalami kerugian berjumlah RM10,000 dan sumber kewangan adalah simpanan miliknya.
“Mangsa kemudian membuat laporan di Balai Polis Kuala Terengganu jam 3.12 petang semalam dan kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
“Polis menasihati orang ramai supaya lebih berwaspada dengan apa juga pelaburan yang mencurigakan dan sebolehnya merujuk kepada pihak berkuasa sekiranya was-was mengenai pelaburan yang ingin disertai,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd