KEJUARAAN Piala Datuk Mokhtar Dahari Bawah 18 Tahun (B-18) 2025 membuka tirai dengan aksi Piala Sumbangsih menemukan juara bertahan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Shah Alam menentang pencabar tradisi, SMK Dato’ Harun di Padang Sintetik Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Seksyen 19 pada Khamis.
Pertemuan klasik dijangka sengit apabila SMK Shah Alam yang muncul juara musim lalu selepas menyingkirkan SMK TTDI Jaya mahu mempertahankan keunggulan, manakala SMK Dato’ Harun pasukan ketiga sebelum ini tekad bangkit mengembalikan kegemilangan Tanjong Karang.
Kapten SMK Shah Alam, Khalish Fakrey Mohd Razilan yakin pasukannya yang dilabel antara gergasi pertandingan bawah umur itu sudah cukup bersedia mengharungi kempen padat kali ini.
“Kami sedar persaingan kali ini lebih mencabar, tetapi disiplin dan semangat berpasukan adalah senjata utama.
“Kami hadir ke pertandingan ini dengan persediaan rapi dan mahu ulangi sejarah,” katanya.
Namun kapten SMK Dato’ Harun, Mohd Misran Mohd Said memberi amaran awal bahawa pasukan tersebut bukan sekadar pencabar pada kali ini.
“Kami pernah menguasai pentas ini. Kini masanya untuk bangkit semula. Kami akan turun dengan semangat juang tinggi untuk buktikan SMK Dato’ Harun kekal digeruni,” katanya.
Sementara itu, pengarah kejohanan, Jailani Abdul menyifatkan aksi tirai pembuka ini bukan sahaja simbolik pertemuan dua gergasi remaja, malah kayu ukur sebenar untuk 32 pasukan terpilih sebelum saingan kumpulan bermula.
“Piala Sumbangsih ini medan terbaik menilai kekuatan awal sebelum pasukan berdepan cabaran kumpulan masing-masing,” katanya.
Dalam pada itu, pengerusi kejohanan, Datuk Emran Kadir menegaskan edisi ke-11 ini bakal menjadi pentas terbaik melahirkan bintang masa depan.
“Kejohanan ini bukan hanya medan melahirkan pelapis Selangor, malah terbuka kepada mana-mana negeri dan kelab yang mahu menggilap serta merekrut bakat baharu,” katanya.
Kejuaraan ini mendapat sokongan Kumpulan Perangsang Selangor (KPS) selaku penaja utama dengan tajaan bernilai RM225,000 untuk Piala Datuk Mokhtar Dahari B-18 tahun dan Piala Raja Muda Selangor B-12 Tahun, manakala Sinar Harian sebagai media rasmi.
Juara Piala Datuk Mokhtar Dahari B-18 akan membawa pulang RM10,000, naib juara RM7,000, tempat ketiga RM5,000 dan keempat RM3,000.
INFO
PIALA DATUK MOKHTAR DAHARI B-18
Kumpulan A: SMK Shah Alam, SMK Bukit Rahman Putra, SMK Sultan Abdul Samad, SMK Telok Panglima Garang.
Kumpulan B: SMK Bandar Rinching, SMK Bandar Tasik Puteri, SMK Putra Perdana, SMK Taman Sri Muda.
Kumpulan C: SMK Meru, SMK Seksyen 4 Kota Damansara, SMK Dato Harun, SMK Sungai Besar.
Kumpulan D: SAMT Sultan Hisamuddin, KV Shah Alam, SMK Bukit Sentosa 2, SMK Jalan Reko.
Kumpulan E: SMK Bandar Saujana Putra, SMK Subang Jaya, SMK Abdul Jalil, SMK Seri Garing.
Kumpulan F: SMK Sungai Kapar Indah, SMK Seri Sepang, SMK Taman Dato’ Harun, SMK Kuala Kubu Bharu.
Kumpulan G: SAM Muhammadiar Pekan Sabak, SMK Pengkalan Permatang, SMK Seksyen 19, SMK Darul Ehsan.
Kumpulan H: SMK Tinggi Klang, SMK Seksyen 7 Shah Alam, SMK Saujana Utama, SMK Taman Tasik.