Dua peninju Jepun maut akibat kecederaan otak di acara sama di Tokyo

Dua peninju Jepun maut akibat kecederaan otak di acara sama di Tokyo


Shigetoshi Kotari (kiri) dan Hiromasa Urakawa – Foto: @WorldBoxingOrg/X

DUA peninju Jepun maut akibat kecederaan otak yang dialami dalam pertarungan berasingan pada acara tinju yang sama di Tokyo, lapor Pertubuhan Tinju Dunia (WBO) dan media tempatan.

Menurut Anadolu Ajansi, Shigetoshi Kotari, 28, rebah tidak sedarkan diri sejurus selepas mencatat keputusan seri 12 pusingan menentang juara lightweight junior Persekutuan Tinju Oriental dan Pasifik, Yamato Hata, pada 2 Ogos. Beliau menjalani pembedahan otak kecemasan tetapi meninggal dunia pada hari yang sama.

Hiromasa Urakawa, juga berusia 28 tahun, meninggal dunia pada Sabtu akibat kecederaan yang dialaminya apabila dia ditumbangkan oleh Yoji Saito di Dewan Korakuen pada 2 Ogos. Beliau turut menjalani pembedahan untuk merawat hematoma subdura – pendarahan dalam tengkorak – namun tidak dapat diselamatkan.

“Kami merakamkan ucapan takziah kepada keluarga, rakan-rakan, dan komuniti tinju Jepun pada waktu yang amat sukar ini,” kata WBO dalam kenyataan pada Sabtu.

Kematian ini merupakan insiden maut ketiga dalam sukan tinju tahun ini.

Pada Februari, peninju super featherweight Ireland, John Cooney, 28, meninggal dunia akibat kecederaan otak selepas tumbang dalam mempertahankan gelaran Celtic pertamanya. – Bernama



Source link

OR

Scroll to Top