Dua rentung dalam kebakaran kenderaan akibat kemalangan

Dua rentung dalam kebakaran kenderaan akibat kemalangan


KOTA KINABALU: Dua mangsa rentung dalam kebakaran sebuah kenderaan yang terlibat kemalangan jalan raya di Jalan Kepayan berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), awal pagi tadi.

 

Dalam kemalangan yang berlaku kira-kira pukul 2.30 pagi itu, dua mangsa dilaporkan rentung apabila kenderaan dinaiki bertembung dengan dua kenderaan lain.

 

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kota Kinabalu, Ordine Gilu berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada kira-kira pukul 2.35 pagi dan sepasukan lima pegawai dan anggota dikejarkan ke lokasi kejadian dengan dibantu oleh lima anggota dari BBP Putatan.

 

Beliau berkata, sebaik sahaja tiba di lokasi kejadian didapati terdapat empat mangsa terlibat dalam kemalangan melibatkan tiga kenderaan. Dua daripada mangsa yang menaiki Perodua Axia rentung apabila kenderaan tersebut terbakar sepenuhnya dalam kemalangan itu. Identiti kedua-dua mangsa tidak diperoleh.

 

Sementara itu, dua mangsa lain yang berusia 22 dan 34 tahun yang menaiki Perodua Viva dan pacuan empat roda jenis Toyota Vigo hanya cedera ringan.

 

“Operasi memadam kebakaran dilakukan dengan menggunakan satu aliran hose reel dari jentera bomba. Kedua-dua mangsa rentung berjaya dikeluarkan oleh pasukan bomba dan mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Jelas beliau, setelah memastikan tiada lagi bahaya lain yang wujud di lokasi kejadian, operasi ditamatkan sepenuhnya pada pukul 4.40 pagi. – UTUSAN





Source link

OR

Scroll to Top