July 27, 2024

Dua tentera cedera bergaduh akibat salah faham

Dua tentera cedera bergaduh akibat salah faham



am@hmetro.my

Temerloh: Dua anggota tentera cedera selepas terbabit dalam pergaduhan yang dipercayai berpunca daripada salah faham di Kem Tentera Batu 3, Mentakab dekat sini, 9 Mei lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 9 malam itu, suspek dan mangsa, masing-masing berusia 38 dan 36 terpaksa dirawat di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAS) di sini akibat kecederaan dialami.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman, berkata siasatan mendapati ketika kejadian, mangsa sedang menunaikan solat di dalam sebuah bilik di kem terbabit.

Pada masa yang sama, katanya suspek dipercayai menghidupkan motosikal dan membunyikan enjinnya dengan kuat.

“Mangsa menegur perbuatan suspek namun perkara itu menimbulkan rasa tidak puas hati sebelum berlaku pergaduhan antara mereka.

“Mangsa didakwa menggunakan kayu untuk menyerang suspek manakala suspek bersenjatakan parang,” katanya yang memaklumkan kedua-dua anggota tentera itu berpangkat Sarjan.

Katanya, akibat kecederaan yang dialami, mangsa memerlukan beberapa jahitan dan dimasukkan ke wad di HOSHAS untuk rawatan lanjut.

Yahaya berkata polis sudah merekodkan keterangan daripada kedua-dua lelaki itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan parah.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top