June 24, 2024

Eain Yow tumbangkan pilihan utama untuk mara final Terbuka Jerman


KUALA LUMPUR – Pemain skuasy lelaki negara, Ng Eain Yow melangkah ke pentas akhir Terbuka Jerman 2024 selepas menumbangkan pilihan utama kejohanan Joel Makin dari Wales dalam aksi mendebarkan selama 73 minit pada perlawanan separuh akhir di Hamburg, Jerman awal pagi tadi waktu Malaysia.

Turun sebagai pilihan keempat kejohanan Eain Yow bermula baik apabila meraih kemenangan pada set pertama serta kedua, 13-11 dan 11-8.

Namun Makin yang berada di ranking kesembilan dunia bangkit dengan 11-6 di set ketiga sebelum Eain Yow menoktahkan kemenangan dengan 11-8 pada set penentuan.

Eain Yow berkata, menjaga emosi sebaiknya ialah kunci kemenangan untuk menewaskan Makin, namun mengakui perjuangannya belum berakhir apabila beliau akan menentang Dimitri Steinmann dari Switzerland pada final hari ini.

“Saya tak boleh terlalu teruja, pada awal set ketiga saya buat silap dan beliau ‘menghukum saya’. Saya rasa beliau juga sedang bertahan dengan kecederaan hari ini.

“Tahapnya mungkin bukan 100 peratus, tetapi permainan berlangsung 73 minit, menunjukkan beliau memang pemain yang hebat,” katanya menerusi kenyataan Persatuan Skuasy Profesional (PSA) hari ini.

Terdahulu Steinmann menewaskan Mohamed Elsherbini dari Mesir 11-8, 11-4 dan 11-1 dalam satu lagi perlawanan separuh akhir. – Bernama



Source link

OR

Scroll to Top