July 27, 2024

Atlet pekak bersaing dalam olahraga kebangsaan

Atlet pekak bersaing dalam olahraga kebangsaan


KUALA LUMPUR –  Lebih 120 atlet pekak dari seluruh negara akan bersaing dalam Kejohanan Olahraga Orang Pekak  Malaysia 2024 kali ke 4 di Mini Stadium, Bukit Jalil di sini pada 27 dan 28 April ini.

Kali terakhir kejohanan olahraga orang pekak itu diadakan pada 2017 di Johor dengan kontinjen Terengganu muncul juara keseluruhan.

Setelah tertangguh sekian lama, kejohanan kali  ini akan memperagakan 13 acara dan antara lain untuk  mengenal pasti barisan atlet berpotensi bagi saingan ke peringkat antarabangsa.

Presiden Persatuan Sukan Orang Pekak Malaysia (MSDeaf), Ong Shin Ruenn memberitahu, dari kejohanan peringkat kebangsaan itu, MSDeaf menyasarkan atlet-atlet pelapis untuk dihantar bersaing di Kejohanan Taiwan pada Julai, Sukan SEA Orang Pekak di Jakarta pada Disember dan Olahraga Antarabangsa di Iran pada November depan.

Menurutnya, antara acara yang berpotensi untuk melahirkan atlet pekak bagi kejohanan antarabangsa termasuk lompat kijang, lompat jauh, 100 meter dan beberapa acara lagi.

“Kita akan tengok pencapaian dan rekod catatan pada kejohanan kebangsaan itu nanti.

“Mana-mana atlet pekak yang mencapai sasaran catatan, MSDeaf akan hantar mereka untuk beberapa kejohanan antarabangsa tahun ini,” katanya.

Ong Shin Ruenn

Shin Ruenn menambah, saingan tahun ini dijangka lebih hebat memandangkan ramai atlet pekak mahu menempatkan diri dalam kejohanan peringkat antarabangsa.

“Pada masa ini, setiap kontinjen sedang menyedia dan melatih atlet masing-masing.

“Mereka akan berehat seketika pada masa hari raya sebelum meneruskan latihan hingga kejohanan bermula,” katanya.

Menjawab pertanyaan, Shin Ruenn memberitahu, MSDeaf mahu menjadikan Sukan SEA Orang  Pekak  di Jakarta sebagai sasaran meletakkan Malaysia sebagai pasukan terbaik.

“Kita akan mempertahankan kejuaraan setelah muncul juara keseluruhan  pada Sukan SEA Orang Pekak 2022 yang diadakan  di Kuala Lumpur.

“Sebab itu latihan berterusan diadakan dan kejohanan olahraga orang pekak kebangsaan di Bukit Jalil ini bagi mengenal pasti atlet-atlet berpotensi,” katanya.- MalaysiaGazette



Source link

OR

Scroll to Top