Ab Rauf meraikan Ee Wei (dua dari kiri) semasa kunjungan pemain itu ke Pejabat Ketua Menteri di Seri Negeri Ayer Keroh.
KEJAYAAN manis Toh Ee Wei merangkul gelaran juara dunia bersama gandingannya, Chen Tang Jie dalam acara beregu campuran di Paris baru-baru ini cukup bermakna apabila anak kelahiran Melaka itu diraikan dengan sumbangan insentif khas kemenangan bernilai RM50,000.
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, pencapaian Ee Wei bukan sahaja mengharumkan nama Malaysia di pentas antarabangsa, malah turut membanggakan seluruh rakyat negeri ini.
“Kerajaan Melaka amat berbangga dengan pencapaian Ee Wei yang mencipta sejarah bersama Tang Jie menamatkan penantian negara untuk membawa pulang emas dunia dalam acara beregu campuran.
“Sebagai tanda penghargaan, kerajaan negeri bersetuju menyampaikan sumbangan insentif khas kemenangan berjumlah RM50,000 atas kejayaan beliau mengharumkan nama Malaysia, khususnya negeri Melaka, di persada dunia,” katanya.
Menurut Ab Rauf, kerajaan negeri juga menyokong penuh hasrat Ee Wei yang berkeinginan menubuhkan sebuah akademi badminton di Melaka sebagai usaha melahirkan lebih ramai bakat baharu sekali gus berbakti kepada negeri kelahirannya.
“Saya percaya sumbangan khas ini bukan sahaja menjadi pengiktirafan kepada Ee Wei, malah penyuntik semangat buat semua atlet kelahiran Melaka untuk terus berjaya di pentas antarabangsa,” ujarnya.





