Istanbul: Unai Emery menggesa Aston Villa menjadikan kejayaan bersejarah menjuarai final Liga Europa menentang Freiburg sebagai pencetus kepada era baharu yang lebih bercita-cita tinggi.
Pasukan kendalian Emery menamatkan kemarau trofi selama 30 tahun dengan kemenangan bergaya 3-0 di Istanbul, awal pagi tadi.
Gol-gol menarik pada separuh masa pertama daripada Youri Tielemans dan Emiliano Buendia meletakkan Villa di landasan selesa sebelum Morgan Rogers menambah jaringan selepas rehat untuk menewaskan Freiburg yang gagal memberi saingan.
Trofi pertama Villa sejak Piala Liga 1996 itu juga kejuaraan utama Eropah pertama mereka dalam tempoh 44 tahun.
Selepas sekian lama bergelut sebelum Emery mengambil alih menggantikan Steven Gerrard yang dipecat pada 2022, Villa kini kembali berada dalam kelompok elit Liga Perdana Inggeris dan Eropah.
Mereka sudah mengesahkan tempat ke Liga Juara-Juara musim depan dan Emery menyeru pemain serta pengurusan kelab untuk berkongsi cita-citanya memastikan Villa terus bersaing merebut trofi.
“Saya seorang bercita-cita tinggi dan sudah tentu saya perlukan sokongan. Pemilik kelab, semua yang bekerja di kelab ini. Pembangunan adalah segala-galanya,” katanya.
“Pemain mengikuti kami dan melakukannya bersama-sama. Tetapi kami perlu menetapkan cita-cita ini dengan jelas dan realistik. Sebagai satu pasukan, kami mahu lebih bercita-cita tinggi dan terus berkembang. Itu langkah seterusnya.
“Kami semakin kuat tetapi juga mahu terus menuntut lebih banyak daripada diri sendiri. Musim depan kami akan bermain dalam Liga Juara-Juara dan Liga Perdana Inggeris adalah liga paling sukar di dunia. Itu cabarannya.”
Emery kini memenangi Liga Europa sebanyak lima kali selepas membawa Sevilla muncul juara tiga kali dan Villarreal sekali.
“Ia sesuatu yang hebat. Eropah memberi banyak kepada kami. Kepada saya juga. Saya sentiasa sangat menghargai Eropah. Semua pertandingan, tetapi terutama Liga Europa,” kata jurulatih dari Sepanyol itu.
“Sokongan saya terima bersama Valencia, Sevilla, Villarreal dan kini di Villa sangat besar. Kami menghadapi pertandingan ini dengan sangat serius tahun ini, begitu fokus.
“Memenangi trofi ini memberi pengalaman kepada kami dan pengalaman itu penting untuk pemain kerana musim depan kami juga mahu terus bersaing merebut trofi.”
Villa kali terakhir memenangi trofi utama Eropah apabila mengejutkan Bayern Munich untuk menjuarai Piala Eropah 1982.
Bagi Emery, mengikut jejak Tony Barton sebagai pengurus kedua Villa yang memenangi trofi utama Eropah membuktikan sejauh mana perkembangan mereka sejak beliau tiba pada 2022 ketika kelab itu berada hampir dengan zon penyingkiran Liga Perdana Inggeris.
“Final ini mengesahkan kemajuan kami. Ia sangat penting,” katanya. “Sudah tentu impian saya adalah bermain di Eropah dan memenangi trofi. Kami pernah bermain di separuh akhir Liga Konferens dan suku akhir Liga Juara-Juara. Kami sudah sangat hampir.
“Kelab ini pernah memenangi gelaran Eropah pada 1982 dan kini kembali bersaing untuk trofi Eropah sesuatu yang memberi makna kepada segala kami lakukan.”
Pada malam penuh bersejarah di tebing Bosphorus itu, Emery dan pasukannya memastikan nama mereka akan berdiri sebaris dengan wira 1982 sebagai legenda Aston Villa buat selama-lamanya.
Namun Emery tidak bercadang untuk berhenti di situ. “Kami sedang berkembang. Kami bermain di final. Kami memenangi trofi. Saya rasa jenama kelab ini semakin meningkat,” katanya.
“Mencapai kejayaan ini membuatkan kami sangat gembira dan bangga. Tetapi kami tidak akan berhenti.”
Final Eropah pertama Freiburg pula berakhir dengan kekecewaan apabila kelab Jerman itu masih gagal memenangi trofi utama pertama mereka.
“Pada saat ini, tiada ruang untuk rasa puas hati. Kami kalah di final,” kata jurulatih Freiburg, Julian Schuster.
“Sudah tentu ia sangat menyakitkan. Kami percaya kami boleh menang. Pada separuh masa pertama, terutama 40 minit awal, semuanya berjalan lancar.
“Namun kami hilang kawalan permainan, khususnya akibat situasi bola mati. Itu sangat sukar untuk diterima.”
© New Straits Times Press (M) Bhd






