RUA AlHaram AlMakki Company memeterai enam memorandum persefahaman (MoU) strategik dengan rakan kongsi dari lima negara iaitu Malaysia, Arab Saudi, Indonesia, Brunei dan Amerika Syarikat ketika menyertai Cityscape Global di Riyadh baru-baru ini.
Langkah strategik ini sekali gus mengukuhkan pembangunan projek Gerbang Raja Salman yang terletak berhampiran Masjidil Haram.
Kerjasama penting ini melibatkan Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB) yang meneroka usaha sama pembangunan manakala Osool dari Arab Saudi menilai peluang pelaburan.
Selain itu, Badan Pengelola Keuangan Haji Indonesia (BPKH) turut menandatangani dua perjanjian bagi penilaian pelaburan dan komponen makanan bandar.
Tidak ketinggalan, Perbadanan Tabung Amanah Islam Brunei (TAIB) juga menilai pelaburan pada salah satu lot tanah syarikat.
Forbes Global Properties turut menjalin kerjasama strategik yang menjadikan RUA AlHaram AlMakki pemaju pertama dunia dalam jaringan hartanah eksklusif tersebut dan kerjasama ini dijangka meningkatkan keterlihatan antarabangsa syarikat dalam pasaran bernilai tinggi.
Penyertaan syarikat itu di Cityscape Global juga menarik kunjungan ribuan pelawat dan menampilkan pavilion interaktif yang dinamik.
Gerbang Raja Salman pacu transformasi Makkah
Kesemua MoU yang dimeterai ini mengukuhkan aspirasi RUA AlHaram AlMakki dalam mencorakkan destinasi moden yang memelihara warisan Makkah dan menyokong matlamat Wawasan 2030 Arab Saudi.
Pemeteraian ini menandakan kemajuan penting kepada pembangunan bercampur berskala besar yang menampilkan kediaman moden, hospitaliti bertaraf antarabangsa dan pemuliharaan budaya. Hasilnya, Makkah akan menjadi destinasi global yang lebih tersusun dan inklusif.
RUA AlHaram AlMakki komited untuk meneruskan kerjasama dengan pelabur antarabangsa ketika projek memasuki fasa pembangunan seterusnya. Usaha ini bertujuan memenuhi keperluan jemaah, pelawat dan komuniti Muslim dari seluruh dunia.
© New Straits Times Press (M) Bhd






