KETIKA Sepanyol dilabel sebagai pasukan pilihan, England selesa merendah diri sambil mengingatkan skuad The Three Lions memiliki senjata rahsia menjelang final Euro 2024 pada Isnin.
Malah pemain England, Ollie Watkins juga mendedahkan bahawa pasukannya mempunyai banyak pilihan di jentera serangan yang mampu mengancam kubu lawan.
Watkins yang masuk dari bangku simpanan muncul wira apabila meledak gol kemenangan dramatik pada masa kecederaan untuk membawa England ke pentas final Euro.
Bagaimanapun Watkins juga sedar bahawa Sepanyol mengharungi laluan yang cukup mencabar untuk mara saingan akhir.
“Sepanyol melalui perjalanan yang lebih sukar berbanding kami.
Mereka berdepan Itali, Jerman dan Perancis iaitu pasukan gergasi dalam saingan Euro 2024.
“Saya rasa mereka mungkin pasukan terbaik dalam kejohanan ini,” katanya.
Beliau turut memuji Sepanyol yang dianggap sebagai pasukan yang dinamik, muda dan penuh keyakinan.
“Namun keadaan yang sama dalam pasukan kami kerana mempunyai pemain berbakat bertaraf antarabangsa.
Kami berharap dapat menyelesaikan tugasan ini dengan baik,” ujar Watkins.
Pemain berusia 28 tahun itu juga masih menikmati peranannya ketika membantu England ke final dengan golnya digambarkan sebagai ikonik.
“Saya menonton semula (video jaringan) ketika di hotel, namun kali ini saya menontonnya beberapa kali lebih daripada biasa,” katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!