DALAM Taksonomi Anderson, kemahiran berfikir terbahagi kepada tiga aras:
1. Kemahiran berfikir aras rendah (KBAR) atau LOTS (Low Order Thingking Skills).
2. Kemahiran berfikir aras sederhana (KBAS).
3. Kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT) atau Higher Order Thinking Skills (HOTS).
KBAR merangkumi:
1. Mengingat (remembering)
2. Memahami (understanding)
Secara asasnya, proses pembelajaran pada aras ini memfokuskan hafalan dan pemahaman teks.
Dalam tradisi epistimologi keilmuan Islam, aras ini berada di marhalah tamhidiyyah (permulaan) dan i’dadiyyah (persediaan), sama seperti peringkat rendah di menengah rendah dalam sistem pendidikan kebangsaan.
Proses penghafalan ini dalam bahasa Arab disebut tahfiz تحفيظ.
Hafalan atau tahfiz ini adalah proses latihan menajamkan akal fikiran, sehingga dapat membentuk akal di tahap ‘photografic memory’, iaitu kekuatan hafazan yang optimum.
Teks yang dihafal ialah al-Quran, hadis dan matan-matan ilmu yang pelbagai.
من حفظ المتون، حاز الفنون.
“Sesiapa yang menghafal matan maka dia menguasai bidang ilmu.”
من حفظ الأصول ضمن الوصول.
“Sesiapa yang menghafal asas-asas ilmu maka dijamin dia akan beroleh manfaat ilmu tersebut.”
Bagaimana dikatakan seseorang itu menguasai sesuatu bidang ilmu sekiranya dia tidak dapat mengingati masalah atau topik perbahasan dalam ilmu tersebut?
Maka orang yang dikatakan berilmu mestilah menghafal sebanyak mungkin isu-isu berkaitan bidang ilmu yang menjadi pengkhususannya.
Kerana itulah belajar ilmu memerlukan ketajaman otak. Dan antara kaedah menajamkan otak ialah dengan mengasahnya melalui hafalan, atau tahfiz.
Setelah senjata otak yang merupakan alat menuntut ilmu ditajamkan, maka ia memudahkan penuntut ilmu untuk meneroka belantara alam kajian literatur (maqru’) dan lapangan (manzur) bagi mengeluarkan khazanah keilmuan yang bermanfaat buat diri sendiri dan umat manusia.
Bacalah biografi ulama terkemuka dalam sejarah keilmuan Islam, mereka memulakan perjalanan menuntut ilmu dengan menghafal al-Quran, sebelum meneruskan ke bidang lain.
Sebelum menuntut dengan Imam Malik, Imam Syafie menghafal terlebih dahulu kitab Muwattha.
Imam Bukhari mempunyai kekuatan hafazan yang luar biasa dan pernah diuji hafalan hadis beserta sanadnya oleh para ilmuan hadis.
Sheikh Badiuzzaman Said Nursi dikatakan mempunyai kekuatan ‘photografic memory’.
Berapa ramai ilmuan Islam yang poliglot, iaitu seseorang yang menguasai banyak bahasa.
Imam al-Ghazali menulis dalam bahasa Arab dan Parsi. Sheikh Abul Hasan Ali an-Nadwi dan sebahagian ulama benua India menulis dalam bahasa Urdu dan Arab.
Bahkan membaca ‘manaqib’ ilmuan Islam akan membuatkan kita rasa kagum dengan keupayaan intelektual mereka.
Tidakkah mempelajari sesuatu bahasa menuntut seseorang menghafal dan memahami kosa kata, ‘mufradat’ atau ‘vocabulary’ bahasa sasaran?
Dan untuk menghafal sesuatu perkara bukankah memerlukan ketajaman otak?
Jadi tahfizlah tempat latihan mengasah otak sebelum seorang penuntut ilmu itu melangkah ke aras yang seterusnya, iaitu KBAS dan KBAT.
Kalau dalam KBAR memfokuskan kepada menghafal dan memahami teks atau فقه النصوص, peringkat seterusnya menuntut akal berfikir untuk mengaplikasikan teks ke dalam konteks, iaitu فقه الواقع.
Aras kedua ini disebut KBAS di ‘marhalah thanawiyyah’ (peringkat menengah tinggi) yang merangkumi:
1. Mengaplikasi (applying)
2. Menganalisis (analyzing)
Marhalah thanawiyyah ini, penuntut ilmu dibimbing oleh guru mursyid bagaimana sewajarnya kaedah mengkontekstualkan teks yang dihafal dan difahami ke dalam realiti kehidupan.
Sekiranya KBAR ini merupakan asas ilmu fardhu ain iaitu ilmu mengurus diri, KBAS lebih menjurus ke aras pengkhususan bagi memenuhi tuntutan fardhu kifayah iaitu ilmu mengurus sistem.
Di peringkat ini, teks al-Quran dan hadis yang telah dihafal, dianalisis secara tematik (موضوعي) dan deduktif (استنباط) untuk diamalkan dan dipraktikkan di peringkat individu, keluarga, masyarakat dan negara, agar kehidupan manusia dipandu oleh kehendak syariat ALLAH subhanahu wa ta’ala dalam rangka pematuhan (الاتباع).
Maka lahirlah kepelbagaian mazhab dalam Islam, yang mengkayakan khazanah keilmuan Islam.
Manakala dalam soal kehidupan dunia, al-Quran menganjurkan manusia untuk meneroka alam secara induktif (استقراء) bagi menghasilkan inovasi (ابتداع) bertujuan memudahkan kehidupan manusia di alam dunia, melalui apa yang dinamakan sekarang ini sebagai bidang sains dan teknologi.
Manakala peringkat tinggi (marhalah ‘aliyyah) pada aras KBAT, ia merangkumi kemahiran:
1. Menilai (evaluating)
2. Mencipta (creating)
KBAT merupakan penerusan KBAS. Dalam tradisi Islam dipanggil ijtihad (اجتهاد) dan tajdid (تجديد).
Ijtihad ialah suatu proses penyelidikan yang serius dan yang dilakukan secara bersungguh-sungguh oleh sarjana Islam (mujtahid) untuk menerbitkan hukum yang bersifat amali bagi menyelesaikan masalah yang bersifat semasa.
Manakala tajdid pula daripada kalimah جديد bermaksud baharu. Tajdid ialah pembaharuan bukan dalam erti kata memodifikasikan ajaran Islam yang sudah sedia sempurna, tetapi tajdid ialah usaha membawa semula umat Islam yang jauh daripada ajaran Islam atau lemah dalam mengamalkan Islam agar kembali mendapat suntikan semangat baharu untuk berpegang teguh dengan Islam bagi menghadapi cabaran semasa.
Inilah gambaran ringkas mengenai epistimologi keilmuan Islam yang apabila dipraktikkan maka manfaatnya bukan sahaja kembali kepada orang Islam, bahkan akan turut dirasai oleh manusia sejagat.
Justeru menjadi tanggungjawab kita untuk menjelaskan kepada mereka yang keliru, ragu-ragu dan skeptikal dengan sistem tradisi pengajian Islam.
Islam sebagai penyelesaian.
USTAZ MUHAMMAD RIF’AAT RAZMAN
Mudir
Maahad Tahfiz Al-Quran lid Dakwah wal Imamah
Lenggong, Perak – HARAKAHDAILY 19/9/2024