Perkukuhkan amalan budaya bersih

Perkukuhkan amalan budaya bersih


Sampah di kawasan pantai yang dikutip oleh sukarelawan.
– Advertisement –

ISLAM mendidik umatnya dalam semua aspek kehidupan. Tiada satu pun yang ditinggalkan oleh Islam melainkan diberikan panduan.

Ini termasuk bab kebersihan. Islam meletakkan aspek kebersihan sebagai sebahagian daripada iman. Ini menunjukkan betapa agama Islam sangat mementingkan persoalan menjaga kebersihan.

Namun hingga hari ini, masyarakat Islam dilihat masih belum kukuh menghayati prinsip hidup yang penting itu. Kita dapat katakan sikap sesetengah khalayak awam ibarat pahat dan pemukul. Setiap kali kempen menjaga kebersihan diadakan, maka hangatlah seketika hingga semua golongan terpanggil untuk menampilkan diri.

– Advertisement –

Sayang sekali apabila amalan seharian dalam kehidupan, aspek memelihara kebersihan itu belum menampakkan impak yang positif.

Lebih menyedihkan apabila diadakan sesuatu program keramaian, sikap sesetengah orang awam yang langsung tidak mengendahkan unsur kebersihan, malah prasarana untuk keindahan sesuatu kawasan turut menjadi mangsa kepada sikap buruk yang tidak menghargai apa yang telah disediakan oleh pihak berkuasa.

Ini sekali gus memberikan gambaran jelas bahawa sikap meghayati bersih itu sebahagian daripada iman belum tertanam kukuh dalam jiwa.

Ini dapat dibuktikan apabila sikap meletakkan kerja dan urusan memelihara dan menjaga kebersihan di bawah pihak tertentu yang diberi tanggungjawab untuk mengendalikan.

Paradigma pemikiran begini menyebabkan banyak lokasi tumpuan awam tidak dapat diurus dengan sempurna kerana masing-masing bersikap lepas tangan dan memandang remeh persoalan kebersihan.

Meskipun umat Islam merupakan masyarakat majoriti di negara kita, namun penonjolan imej sebagai umat yang menganggap bersih itu sebahagian daripada iman belum mengakar dalam jiwa. Sedangkan antara pesanan penting yang ditinggalkan oleh Nabi Muhammad SAW untuk dihayati ialah memelihara kebersihan.

Rasulullah SAW sejak awal-awal lagi telah berpesan dengan sabdanya: “Agama itu dibangunkan berasaskan kebersihan” – (Hadis riwayat Imam Muslim).

Sabda ini sudah cukup membuktikan betapa tingginya pandangan Islam terhadap aspek memelihara kebersihan. Paragdima fikir bahawa memelihara dan menjaga kebersihan hanya terhad dalam persoalan ibadat, terutama solat perlu diperbetulkan.

Imam Muslim mencatatkan bahawa Baginda bersabda: “Ada seorang lelaki yang membuang dahan pohon yang menghalangi jalan, lalu ia berkata: ‘Demi Allah, aku akan singkirkan dahan ini agar tidak mengganggu dan menyakiti kaum Muslimin’ maka Allah pun memasukkannya ke syurga.”

Hadis itu sebenarnya mengukuhkan hujah Islam adalah ajaran yang mendidik umatnya hidup berbudayakan kebersihan. Jadi, sebarang perbuatan yang menampakkan unsur meremehkan aspek memelihara kebersihan dan keindahan persekitaran boleh dianggap lambang rapuhnya penghayatan terhadap budaya hidup utamakan kebersihan dan keindahan.

Masyarakat ternyata masih gagal mempamerkan sikap bahawa mereka benar-benar menghayati apa yang dididik oleh Baginda SAW, iaitu utamakan kebersihan dalam kehidupan.

Pesanan Baginda: “Sesungguhnya Allah SWT itu suci yang menyukai hal-hal yang suci, Dia Maha Bersih yang menyukai kebersihan, Dia Maha Mulia yang menyukai kemuliaan, Dia Maha Indah yang menyukai keindahan kerana itu bersihkanlah tempat-tempatmu.” (Hadis riwayat Imam at-Tirmizi).

Dalam hadis itu, tertera dengan jelas beberapa unsur penting yang Allah SWT sukai. Antaranya, kebersihan dan keindahan. Bersih dan indah semasa berpakaian, baik dalam urusan kehidupan duniawi, apatah lagi untuk tujuan ukhrawi seperti pergi bersolat di masjid dan surau.

Begitu jugalah dengan memperagakan unsur bersih dan indah pada kawasan kediaman. Ingatlah kepada pesanan Nabi kita sebagaimana diriwayatkan oleh At-Tabrani yang mana Rasulullah SAW bersabda: “Bersihkan halaman kamu, kerana sesungguhnya orang Yahudi tidak membersihkan halamannya.”

Bagaimana pula halnya dengan kawasan-kawasan tumpuan masyarakat awam seperti di taman riadah dan seumpamanya?

Ya, bersih dan indah tetap termasuk dalam pesanan Baginda SAW. Andainya kawasan itu telah tersedia dihiasi dengan aneka flora yang segar dan cantik menghias, maka kita selaku masyarakat perlu menunjukkan tanda menghargai apa yang disediakan itu. Bukannya bertindak merosakkan atau memusnahkan apa yang telah kelihatan bersih dan indah itu.

Islam turut melarang keras sebarang bentuk perbuatan vandalisme seperti merosakkan kemudahan awam yang disediakan untuk kepentingan masyarakat.

Justeru, pendidikan sivik yang mengutamakan aspek memelihara kebersihan dan keindahan seharusnya dipergiatkan untuk semua peringkat baik di sekolah mahupun pada peringkat tinggi.

Selain itu, pendidikan agama Islam di sekolah sewajarnya didedahkan kepada murid-murid bahawa Islam menegah perbuatan vandalisme dan si pelaku perbuatan terlarang itu dianggap sebagai seorang yang berdosa, bukan sahaja kepada masyarakat dan negara, tetapi kepada Allah SWT.

Islam mengajak seluruh umatnya menjadi masyarakat dan rakyat yang memiliki sikap bertanggungjawab tinggi dalam memelihara dan menjaga persekitaran.

Walaupun di negara kita sudah pun mempunyai pelbagai akta dan peraturan untuk mendenda pelaku vandalisme yang mencemarkan kawasan kemudahan riadah awam, tetapi aspek pendidikan dan kesedaran kendiri pasti akan membuahkan natijah positif dalam mewujudkan negara yang masyarakatnya memiliki kesedaran tinggi serta menghargai apa yang disediakan. – HARAKAHDAILY 6/9/2024

– Advertisement –



Source link

OR

Scroll to Top