Fahmi Fadzil kini bergelar Datuk Seri, penerima tunggal DPPN Pulau Pinang 2026

Fahmi Fadzil kini bergelar Datuk Seri, penerima tunggal DPPN Pulau Pinang 2026


Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil kini secara rasmi bergelar Datuk Seri selepas dianugerahkan Darjah Panglima Pangkuan Negeri (DPPN) sempena Hari Ulang Tahun ke-85 Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ramli Ngah Talib, hari ini.

Penerima tunggal DPPN tahun ini

Memetik laporan daripada Bernama, Fahmi yang juga Jurucakap Kerajaan Madani menjadi penerima tunggal DPPN tahun ini, sekali gus mendahului senarai 230 individu yang menerima darjah kebesaran pada Istiadat Penganugerahan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Kehormatan Negeri Pulau Pinang 2026 yang berlangsung di Dewan Sri Pinang.

Selain Fahmi, seramai 19 individu menerima Darjah Gemilang Pangkuan Negeri (DGPN) yang turut membawa gelaran Datuk Seri, antaranya Pengerusi Mara Incorporated Sdn Bhd, Datuk Abdul Halim Mohammad dan Ketua Pegawai Eksekutif Invest Penang, Datuk Loo Lee Lian.

Dalam pada itu, sembilan individu menerima Darjah Yang Mulia Pangkuan Negeri (DMPN), manakala 72 lagi dianugerahkan Darjah Setia Pangkuan Negeri (DSPN) yang membawa gelaran Datuk.

Antara penerima DMPN ialah bekas Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail.

Penerima DSPN pula termasuk pelakon, pengarah dan penulis skrip Cathay-Keris Film Productions, Allahyarham Nordin Ahmad, Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), Meor Ismail Meor Akim serta Pengerusi Bank Rakyat, Datuk Mohd Irwan Mohd Mubarak.

Terdahulu, Tun Ramli bersama isteri, Toh Puan Raja Noora Ashikin Raja Abdullah tiba pada jam 8.45 pagi bagi menyempurnakan istiadat berkenaan.

Istiadat Penganugerahan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Kehormatan Negeri Pulau Pinang berlangsung selama empat hari bermula hari ini serta pada 13, 14 dan 15 Julai, menyaksikan seramai 101 individu menerima darjah kebesaran, manakala 1,120 lagi dianugerahkan bintang dan pingat kehormatan.





Source link

OR

Scroll to Top