Prestasi TNB kekal berdaya tahan ketika ketidaktentuan global

Prestasi TNB kekal berdaya tahan ketika ketidaktentuan global


KUALA LUMPUR: Tenaga Nasional Berhad (TNB) terus mencatatkan prestasi berdaya tahan bagi tempoh separuh pertama tahun kewangan berakhir 30 Jun 2026 (1H 2026), sekali gus memperkukuh keupayaannya menyediakan bekalan elektrik yang selamat dan boleh dipercayai kepada rakyat.

Prestasi itu memperteguh keterjaminan tenaga negara serta memacu agenda peralihan tenaga Malaysia dalam persekitaran tenaga global yang dinamik.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir Ts Shamsul Ahmad, berkata daya tahan prestasi syarikat membolehkannya terus melabur dalam ekosistem tenaga negara, selain memberikan nilai kepada pelanggan, pemegang saham dan negara.

“Prestasi 1H 2026 ini membolehkan kami terus melabur dalam infrastruktur kritikal yang bukan sahaja membekalkan tenaga kepada isi rumah dan perniagaan, malah memperkukuh keterjaminan tenaga negara dan mempercepat peralihan tenaga.

“Ia juga memastikan kami dapat terus menyediakan bekalan elektrik yang boleh dipercayai dan selamat, di samping mencipta nilai buat pelanggan, pemegang saham dan negara,” katanya.

Dalam tempoh berkenaan, harga bahan api global terus mempengaruhi kos penjanaan elektrik, menyebabkan pelarasan di bawah mekanisme Pelarasan Kos Bahan Api Secara Automatik (AFA) yang diperkenalkan kerajaan.

Sejak AFA diperkenalkan pada Julai 2025 hingga April lalu, pengguna elektrik menerima rebat berjumlah RM3.1 bilion.

Susulan ketidaktentuan pasaran tenaga global berikutan konflik di Asia Barat, kerajaan turut menyalurkan tambahan RM435 juta daripada Kumpulan Wang Industri Elektrik (KWIE) sejak Mei lalu bagi mengurangkan impak terhadap pengguna.

TNB pada masa sama terus memberi tumpuan kepada aspek peningkatan kecekapan operasi, pengoptimuman prestasi penjanaan dan usaha mengekalkan kebolehpercayaan bekalan.

Syarikat melabur RM5.6 bilion sepanjang 1H 2026 dalam projek berkaitan kebolehpercayaan bekalan bagi memenuhi pertumbuhan permintaan, memastikan keterjaminan bekalan dan mempercepat peralihan tenaga.

Menerusi pelaburan berterusan dalam teknologi grid pintar, automasi rangkaian dan penyelenggaraan ramalan, TNB turut meningkatkan keupayaan memulihkan bekalan dengan lebih pantas serta memperkemas pengurusan gangguan bekalan, khususnya ketika tempoh permintaan elektrik tinggi dan cuaca ekstrem.

Pelaburan ini terbukti membawa hasil, dengan Indeks Tempoh Masa Purata Gangguan Sistem (SAIDI) bertambah baik kepada 23.45 minit.

Perkukuh sistem tenaga masa depan

TNB turut memantapkan kemampuannya untuk memulihkan bekalan dengan lebih pantas serta mempertingkatkan pengurusan gangguan bekalan, terutamanya ketika tempoh permintaan elektrik tinggi dan cuaca ekstrem.

TNB turut mempercepat pelaburan strategik bagi memperkukuh ekosistem tenaga negara dan mempersiapkan Malaysia menghadapi pertumbuhan permintaan elektrik pada masa hadapan yang dipacu elektrifikasi industri, industri berasaskan kecerdasan buatan (AI) dan pelaburan pusat data.

Antara pencapaian utama sepanjang 1H 2026 ialah pengoperasian Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri (BESS) Santong berkapasiti 100 megawatt (MW)/400 megawatt jam (MWh) di Terengganu.

Kemudahan itu diiktiraf sebagai BESS tersambung grid pertama di Malaysia yang menggunakan teknologi grid forming.

TNB turut bekerjasama dengan Petronas Gas Berhad bagi membangunkan Terminal Regasifikasi Ketiga di Lumut, Perak, yang dijangka meningkatkan daya tahan bekalan gas asli cecair (LNG) jangka panjang serta menyokong penjanaan elektrik yang boleh dipercayai.

Dalam usaha mempercepat peralihan tenaga, TNB turut menganjurkan Persidangan Peralihan Tenaga 2026 yang menghimpunkan lebih 6,000 delegasi dari lebih 60 negara.

Persidangan itu menghasilkan 15 kerjasama strategik meliputi tenaga boleh baharu, pembangunan grid dan kesalinghubungan serantau.

TNB juga melancarkan Energy Transition and Sustainability Academy (ETSA) bagi membangunkan bakat masa depan serta memperkukuh kerjasama antara industri, ahli akademik dan penggubal dasar.

Sumbang kepada komuniti

TNB turut memperluaskan usaha pemerkasaan komuniti menerusi pelbagai inisiatif tanggungjawab sosial korporat, dengan RM109 juta diperuntukkan sepanjang 1H 2026. Selain memastikan bekalan tenaga kepada isi rumah dan perniagaan, TNB terus melaksanakan inisiatif yang memberi manfaat kepada komuniti dan alam sekitar.

Menerusi My Brighter Green Initiative 2026, sebanyak 40,000 anak pokok hutan dan bakau akan ditanam di seluruh negara sepanjang tahun ini bagi menyokong pemuliharaan biodiversiti, daya tahan iklim dan penglibatan komuniti.

TNB turut memperuntukkan RM109 juta bagi pelbagai inisiatif tanggungjawab sosial korporat sepanjang tempoh berkenaan.

Daripada jumlah itu, RM71.1 juta disalurkan bagi sokongan pendidikan yang memberi manfaat kepada 7,550 pelajar menerusi Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) dan Yayasan Tenaga Nasional (YTN).

Sebanyak RM5.4 juta pula diperuntukkan bagi pembangunan sukan yang memberi manfaat kepada 42,420 atlet dan peminat sukan, termasuk menerusi program hoki kebangsaan.

Program Bersama Sekolah menerima RM7.1 juta, termasuk bagi inisiatif Ceria Ke Sekolah dan Sekolah Angkat yang memberi manfaat kepada lebih 200,000 murid dan 50 sekolah.

Sebanyak RM16.3 juta turut diperuntukkan bagi program komuniti dan sokongan, termasuk bantuan bencana dan Projek Mesra Rakyat yang memberi manfaat kepada lebih 200,000 individu.

Sementara itu, RM400,000 disalurkan bagi usaha pemerkasaan komuniti menerusi elektrifikasi, termasuk pemasangan sistem solar, pencahayaan LED dan pendawaian semula yang memberi manfaat kepada 3,600 orang.

Selain itu, RM8.7 juta zakat wakalah disalurkan kepada lebih 50,000 penerima asnaf.

Kedudukan kewangan kukuh

Pengguna elektrik telah menerima rebat RM3.1 bilion sejak AFA mula diperkenal pada Julai 2025 sehingga April tahun ini. Prestasi operasi yang berdaya tahan turut diterjemahkan menerusi kedudukan kewangan yang sihat, sekali gus membolehkan TNB meneruskan pelaburan dalam infrastruktur kritikal serta memberikan pulangan kepada pemegang saham.

Bagi 1H 2026, TNB mencatatkan pendapatan RM2 bilion, disokong peningkatan jualan elektrik yang sebahagian besarnya disumbangkan sektor komersial serta peningkatan keuntungan operasi.

Prestasi itu membolehkan Lembaga Pengarah mengisytiharkan dividen interim sebanyak 25 sen sesaham, selaras dengan dasar dividen syarikat.

Pembayaran dividen berjumlah RM1.5 bilion itu akan diagihkan kepada pemegang saham TNB, dengan 64.1 peratus disalurkan kepada syarikat pelaburan berkaitan kerajaan, termasuk Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Khazanah Nasional Berhad, Permodalan Nasional Berhad (PNB), Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) dan Lembaga Tabung Haji.

Shamsul berkata, manfaat itu akhirnya dapat dipulangkan secara tidak langsung kepada jutaan rakyat Malaysia, sekali gus mencerminkan komitmen TNB dalam memberi nilai serta menyumbang kembali kepada negara.

“Justeru, manfaat ini dipulangkan secara terus kepada jutaan rakyat Malaysia, lantas mencerminkan komitmen TNB dalam memberi nilai di samping menyumbang kembali kepada negara,” katanya.

Beliau berkata, daya tahan kewangan TNB terus menyediakan asas kukuh bagi pelaburan berterusan dalam pemodenan grid, integrasi tenaga boleh baharu, pendigitalan dan peluasan infrastruktur yang menyokong keterjaminan tenaga serta pembangunan ekonomi jangka panjang Malaysia.

Melangkah ke hadapan, permintaan elektrik dijangka kekal pada trajektori pertumbuhan stabil, disokong perkembangan sektor perindustrian, pendigitalan, bangunan pintar, mobiliti elektrik serta peningkatan pelaburan dalam industri berasaskan AI dan pusat data.

“Di sebalik permintaan yang terus berkembang, TNB berdiri teguh bersama tanggungjawab utamanya iaitu menyediakan bekalan elektrik yang boleh dipercayai, terjamin dan mudah diakses kepada rakyat Malaysia.

“TNB komited untuk memberikan nilai jangka panjang bukan sahaja kepada pemegang saham, tetapi lebih penting kepada rakyat, dengan memastikan peralihan tenaga memperkukuh ekonomi Malaysia, mewujudkan peluang baharu dan meningkatkan kualiti hidup generasi akan datang,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top