Jerebu: 30 sekolah di Lubok Antu tutup esok

Jerebu: 30 sekolah di Lubok Antu tutup esok


am@hmetro.com.my

Kuching: Semua institusi pendidikan di bawah seliaan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Lubok Antu di Sri Aman ditutup sementara berkuat kuasa esok, susulan keadaan kualiti udara yang tidak sihat.

Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak (JPNS) dalam kenyataan malam ini memaklumkan, penutupan berkenaan membabitkan 28 sekolah rendah dengan jumlah keseluruhan 2,242 murid serta dua sekolah menengah yang mempunyai seramai 1,793 murid.

Menurut kenyataan itu, keputusan dibuat berdasarkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) yang direkodkan setakat jam 8 malam, dengan mengambil kira aspek kesihatan, keselamatan dan kesejahteraan murid serta warga institusi pendidikan.

“Sebarang perubahan atau maklumat terkini berkaitan penutupan institusi pendidikan berkenaan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

“Pihak sekolah diingatkan supaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan serta merujuk Surat Siaran Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) Bilangan 1 Tahun 2019 berkaitan langkah menjamin kesihatan dan keselamatan murid di sekolah yang berada dalam kawasan berjerebu yang dianggap kritikal,” kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu lagi, Smsurat siaran bertarikh 15 Januari 2019 menekankan kepentingan pihak sekolah mengutamakan kesihatan dan keselamatan murid serta guru sepanjang tempoh keadaan berjerebu.

Sementara itu, semua institusi pendidikan di bawah seliaan JPN Sarawak dinasihatkan supaya sentiasa mematuhi garis panduan yang terkandung dalam Surat Siaran KPM Bilangan 3 Tahun 2023 berkaitan Garis Panduan Pelaksanaan Aktiviti Luar Institusi Pendidikan Bawah KPM Semasa Cuaca Panas bertarikh 6 Jun 2023.

JPNS turut mengingatkan institusi pendidikan supaya peka dengan perkembangan semasa dengan merujuk Portal Rasmi Jabatan Alam Sekitar (JAS), khususnya Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara (APIMS), bagi memantau tahap IPU di kawasan atau daerah masing-masing.

“Institusi pendidikan juga perlu mematuhi saranan Kementerian Kesihatan Malaysia dari semasa ke semasa bagi menjamin kesihatan murid dan warga institusi pendidikan,” katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, JPN Sarawak sentiasa mengambil berat aspek kebajikan, kesihatan, keselamatan dan kesejahteraan seluruh warganya, khususnya ketika menghadapi cuaca panas atau sebarang keadaan cuaca di luar jangkaan.

Cuaca panas yang melanda negara ketika ini turut menyebabkan beberapa lokasi di Sarawak menunjukkan bacaan IPU pada paras tidak sihat.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top