GANDINGAN muda negara, Muhammad Faiq Masawi dan Lok Hong Quan mencipta sejarah apabila meraih gelaran antarabangsa pertama selepas menjuarai acara beregu lelaki Siri Antarabangsa Petronas Malaysia 2025 di Kompleks Sukan Educity, Johor, pada Ahad.
Pasangan berusia 19 tahun itu, yang juga juara SUKMA tahun lalu, tampil tenang menundukkan beregu Korea Selatan, Kim Jae-hyeon-Lee Sang-won dalam aksi final sengit.
Selaku pilihan utama kejohanan, Faiq-Hong Quan memulakan langkah meyakinkan dengan kemenangan 21-16 pada set pertama.
Namun, beregu pilihan keenam dari Korea Selatan bangkit menyamakan kedudukan selepas memenangi set kedua 21-19.
Enggan mengalah, Faiq-Hong Quan kembali menguasai gelanggang pada set penentuan dengan corak permainan agresif sebelum menoktahkan kemenangan 21-14 sekali gus merangkul kejuaraan sulung di pentas antarabangsa.
Kejayaan itu turut menggagalkan misi Korea Selatan untuk menyapu bersih kesemua lima gelaran selepas wakil mereka menguasai empat lagi acara akhir.
Dalam final beregu campuran sesama Korea Selatan, Kim Jae-yeon-Jang Eun-seo menewaskan rakan senegara, Noh Jin-seong-Ye Na-lee 21-8, 21-18.
Bagi acara perseorangan wanita, Kim Seong-min terpaksa bekerja keras sebelum menundukkan wakil Vietnam, Bui Bich Phuong 21-18, 15-21, 21-14.
Park Sang-yong pula berjaya menafikan cabaran Christian Adinata dari Indonesia menerusi kemenangan 25-23, 20-22, 21-12 dalam acara perseorangan lelaki.
Gelaran beregu wanita turut menjadi milik Korea Selatan apabila pasangan Jang Eun-seo-Kim Yu-jung mengetepikan cabaran Hsuan Ni-chen-Hsieh Mi-yen dari Taiwan 21-10, 21-17.
Siri Antarabangsa Petronas Malaysia 2025
Keputusan
Beregu Campuran
Kim Jae-yeon-Jang Eun-seo (Korea Selatan) kalahkan Noh Jin-seong-Ye Na-lee 21-8, 21-18
Perseorangan Wanita
Kim Seong-min (Korea Selatan) kalahkan Bui Bich Phuong (Vietnam ) 21-18, 15-21, 21-14
Perseorangan Lelaki
Park Sang-yong (Korea Selatan) kalahkan Christian Adinata (Indonesia) 25-23, 20-22, 21-12
Beregu Wanita
Jang Eun-seo-Kim Yu-jung (Korea Selatan) kalahkan Hsuan Ni-chen-Hsieh Mi-yen (Taiwan) 21-10, 21-17
Beregu Lelaki
Muhammad Faiq Masawi-Lok Hong Quan (Malaysia) kalahkan Kim Jae-hyeon-Lee Sang-won (Korea Selatan) 21-16, 19-21, 21-14
Ringkasan AI
- Gandingan muda negara, Muhammad Faiq Masawi dan Lok Hong Quan meraih gelaran antarabangsa pertama di Siri Antarabangsa Petronas Malaysia 2025
- Pasangan berusia 19 tahun itu menundukkan beregu Korea Selatan dalam aksi final
- Mereka memulakan dengan kemenangan pada set pertama
- Beregu pilihan keenam dari Korea Selatan menyamakan kedudukan dengan memenangi set kedua
- Faiq-Hong Quan kemudian menguasai set penentuan dengan permainan agresif merangkul kejuaraan sulung