FAM boleh digantung FIFA angkara kenyataan Yusoff – Nik Erman

FAM boleh digantung FIFA angkara kenyataan Yusoff – Nik Erman


sukan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Kenyataan bekas pemangku Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Mohd Yusoff Mahadi yang menyatakan calon Presiden FAM memerlukan sokongan Tunku Mahkota Ismail adalah satu kenyataan ‘berbahaya’ dan boleh dianggap sebagai ‘campur tangan pihak ketiga’.

Peguam sukan dan komersial, Nik Erman Nik Roseli menjelaskan kenyataan itu boleh disifatkan melanggar Artikel 19 Statut Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) yang memperuntukkan persatuan bola sepak perlu diuruskan secara bebas tanpa gangguan pihak ketiga.

Jelasnya, FIFA amat memandang serius mengenai perkara ini sehingga menyaksikan beberapa persatuan pernah digantung sebelum ini antaranya Kenya, Pakistan, Kuwait, Indonesia dan Nigeria.

“Walaupun Artikel 19 tidak menjelaskan apa definisi ‘pihak ketiga’, tetapi artikel terbabit menyatakan bahawa mana-mana pihak yang tidak dilantik atau dipilih menurut statut masing-masing, FIFA tidak akan mengiktiraf pihak itu.

“Di sini, definisi pihak ketiga adalah pihak yang tidak dilantik atau diundi.

“Jadi, amat merisaukan apabila pernyataan secara terang menyatakan bahawa sokongan pihak ketiga diperlukan,” kata Nik Erman.

Bagaimanapun, Nik Erman menjelaskan persatuan negara terbabit digantung FIFA kerana badan induk itu mendapati wujud campur tangan secara terus dalam pengurusan mereka.

“Walaupun begitu, isu ini bukan jelas dan nyata kerana kes sebelum ini membabitkan ‘campur tangan secara langsung’.

“Pernyataan yang dikeluarkan lebih bersifat ‘campur tangan secara tidak langsung’ secara di belakang tabir.

“Tetapi saya masih berasa ia adalah ‘campur tangan pihak ketiga’ yang melanggar Artikel 19 Statut FIFA,” katanya.

Semalam, Mohd Yusoff menegaskan jawatan presiden badan induk itu bukan sekadar simbol, tetapi satu amanah besar yang perlu dipikul oleh individu yang benar-benar cintakan bola sepak.

Yusoff menjelaskan siapa sahaja yang mahu menggalas tanggungjawab di kerusi panas itu tidak boleh bersikap ‘try and error’, sebaliknya perlu hadir dengan pelan yang jelas, hala tuju tersusun serta kefahaman menyeluruh terhadap ekosistem bola sepak negara.

Beliau berpandangan dalam konteks itu, Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail dilihat sebagai figura yang konsisten dan relatif ‘kebal’ daripada pengaruh politik mahupun korporat.

“Jika Tunku Mahkota Ismail tidak mahu memegang jawatan itu, maka Presiden FAM wajar dipilih dalam kalangan individu yang mendapat kepercayaan serta sokongan daripada baginda.

“Sejarah membuktikan FAM pernah diterajui oleh tokoh seperti Tun Abdul Razak, Tan Sri Hamzah Abu Samah dan Tan Sri Hamidin Mohd Amin,” kata Yusoff.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top