FAM intai abad ke-100, legasi bola sepak Malaysia terus hidup subur

FAM intai abad ke-100, legasi bola sepak Malaysia terus hidup subur


PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) memberi tumpuan kepada pembangunan pemain muda, pengukuhan liga profesional dan persiapan Harimau Malaya menghadapi cabaran antarabangsa, selari dengan peranannya sebagai badan induk bola sepak negara menjelang usia 100 tahun.

Pada Khamis, 11 September, FAM genap berusia 99 tahun, hanya setahun sebelum menjejak satu abad kewujudan.

Hampir seabad, FAM kekal menjadi tunjang utama yang menggerakkan bola sepak negara, daripada mengurus pentas domestik hinggalah membawa Harimau Malaya ke persada antarabangsa.

Sejarah panjang itu bermula pada 11 September 1926 apabila Malayan Football Association (MFA) ditubuhkan melalui persidangan di Padang Kelab Selangor.

Lima persatuan negeri iaitu Selangor, Perak, Melaka, Negeri Sembilan dan Singapura bergabung mewujudkan satu badan pengawal selia bola sepak di Tanah Melayu.

John Middleton Sime, seorang akauntan berbangsa Scotland, dipilih sebagai presiden pertama dan menjadi titik mula kepada legasi bola sepak kebangsaan. Enam tahun kemudian, MFA menukar nama kepada Football Association of Malaya (FAM).

Selepas Perang Dunia Kedua, kepimpinan tempatan mula mencorak arah tuju badan induk itu. Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, yang dipilih sebagai presiden pada 1951, menjadi warga tempatan pertama menerajui FAM.

Lebih besar daripada itu, beliau turut memainkan peranan penting dalam penubuhan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) pada 1954, sekali gus mengangkat Malaysia ke peta bola sepak Asia.

Era 1970-an pula menjadi saksi kepada zaman kegemilangan Harimau Malaya. Pasukan kebangsaan berjaya layak ke Sukan Olimpik Munich 1972, meraih pingat gangsa pada Sukan Asia 1974 di Tehran, serta beraksi di Piala Asia AFC 1976 dan 1980. Detik bersejarah itu kekal terpahat sebagai mercu tanda kegemilangan bola sepak negara.

FAM terus melakukan transformasi dengan memperkenalkan Liga Semi-Pro pada 1989 sebelum dinaik taraf menjadi liga profesional pada 1994.

Langkah ini membuka jalan kepada kejayaan menganjurkan Piala Dunia Remaja FIFA 1997, yang menempatkan Malaysia dalam kalendar bola sepak antarabangsa.

Memasuki era milenium, Liga Super dilancarkan pada 2004, FAM menjadi hos bersama Piala Asia 2007, manakala Harimau Malaya mencipta memori manis dengan pingat emas Sukan SEA 2009 dan 2011 serta kejuaraan sulung Piala Suzuki AFF 2010.

Perjalanan kepimpinan FAM turut menyaksikan pelbagai figura menggalas tanggungjawab penting.

Tan Sri Hamidin Mohd Amin mencipta sejarah sebagai presiden pertama daripada kalangan rakyat marhaen, menerajui badan induk itu dari 2018 hingga 2025 sebelum menyerahkan baton kepimpinan.

Kini, Datuk Mohd Yusoff Mahadi dilantik sebagai Pemangku Presiden FAM sehingga Kongres Tahunan 2026.

Dengan sejarah hampir seabad, FAM tidak sekadar meraikan pencapaian lampau, sebaliknya berusaha memastikan generasi baharu terus mendapat asas kukuh untuk mengharungi cabaran masa depan.

Dari Piala HMS Malaya 1921 hingga Piala Asia 2023, legasi FAM kekal sebagai simbol kekuatan, kebanggaan dan aspirasi bola sepak Malaysia.



Source link

OR

Scroll to Top