FAM, MFL perhalusi langkah baiki saingan Liga-M

FAM, MFL perhalusi langkah baiki saingan Liga-M


FAM giat mencari pendekatan terbaik mengembalikan kemeriahan saingan Liga-M. Foto kecil: Joehari

PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) sedang mencari cara terbaik dalam usaha untuk memperbaiki saingan Liga Malaysia yang dilihat agak suram ketika ini.

Presiden FAM, Datuk Mohd Joehari Mohd Ayub berkata, badan induk bola sepak itu sedang dalam proses perbincangan dengan badan pengelola liga iaitu Liga Bolasepak Malaysia (MFL) untuk mengembalikan kemeriahan saingan liga.

“Setakat ini masih dalam perbincangan dan memang kita nampak beberapa perkara yang kita akan perhalusi dan menjurus kepada memperbaiki liga kita,” katanya.

Situasi saingan liga yang agak suram bukanlah perkara baharu dan telah berlaku sejak beberapa tahun kebelakangan dan ia menjadi lebih parah musim ini.

Peminat beranggapan bahawa saingan liga yang tidak kompetitif dengan dominasi satu pasukan sahaja menyebabkan mereka mula tidak turun ke stadium.

Selain itu, isu kewangan, termasuk masalah pembayaran gaji pemain yang sering melanda pasukan saban musim, turut memberi kesan kepada kehadiran peminat yang semakin berkurangan.

Dalam pada itu, Joehari turut menjelaskan FAM akan melakukan jelajah negeri ke negeri untuk bertemu ahli gabungan FAM dan juga kelab-kelab.

Menurutnya, program pembangunan pemain di peringkat akar umbi akan menjadi perkara paling utama dalam agendanya selepas kira-kira sebulan dilantik sebagai presiden FAM.

“Tumpuan utama untuk 2025, saya lebih fokus kepada pembangunan. Kita akan membuat jelajah negeri ke negeri untuk bertemu ahli gabungan dalam memastikan kita pulang kepada asas untuk membuat program pembangunan yang baik.

“Kita akan berjumpa dalam masa terdekat kerana ketika ini kita sedang dalam rangka kerja buat modul untuk dibawa ke setiap negeri. Mungkin juga kita akan buat bengkel untuk menerangkan tentang langkah yang kita ambil,” katanya.



Source link

OR

Scroll to Top