firdaushashim@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Kuala Lumpur City FC (KL City) boleh menarik nafas lega apabila Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengesahkan sudah menerima email daripada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) semalam berkenaan penarikan balik sekatan perpindahan pemain ke atas kelab itu.
Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman berkata, sekatan berkenaan sudah ditarik balik sepenuhnya, sekali gus membolehkan KL City kembali mendaftarkan pemain-pemain baharu.
Menurutnya, perkara itu juga sudah dimaklumkan kepada KL City dan Liga Bolasepak Malaysia (MFL), dengan kelab berkenaan ketika ini sedang berusaha mengisi serta mendaftarkan pemain-pemain dalam sistem bagi membolehkan mereka beraksi.
“Dah ditarik sepenuhnya semalam. KL City dah mula daftar pemain seperti mana yang diperlukan.
“Perkara ini sudah diketahui kelab dan mereka sedang mendaftarkan pemain-pemain (tonggak baharu) ketika ini,” katanya ketika dihubungi Arena Metro hari ini.
Penarikan balik sekatan itu memberi kelegaan besar kepada KL City selepas mereka sebelum ini berdepan kesukaran mendaftarkan pemain baharu susulan sekatan FIFA berkaitan isu tunggakan bayaran kepada pemain import.
Dengan sekatan itu kini sudah ditarik balik sepenuhnya, KL City mempunyai peluang untuk memperkuatkan skuad mereka dan menurunkan pemain baharu dalam aksi Liga Super seterusnya.
Perkembangan itu pastinya menjadi suntikan semangat buat The City Boys yang sebelum ini terpaksa mengharungi dua aksi pertama musim ini dalam keadaan serba kekurangan.
Terdahulu, skuad kendalian Dollah Salleh gagal beraksi menentang Negeri Sembilan FC dan kemenangan percuma 3-0 diberikan kepada lawan, sebelum aksi kedua bertemu Kuching City menyaksikan KL City dibelasah 6-0 selepas terpaksa beraksi dengan 10 pemain di atas padang dan hanya seorang tonggak dibangku simpanan.
© New Straits Times Press (M) Bhd
