FAM tak puas hati kualiti padang Stadium Nasional Bukit Jalil

FAM tak puas hati kualiti padang Stadium Nasional Bukit Jalil


PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) mengakui tidak berpuas hati dengan kualiti padang Stadium Nasional Bukit Jalil yang akan digunakan bagi aksi Pestabola Merdeka yang akan berlangsung pada 4 September ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pengelola Tempatan Pestabola Merdeka 2024, Mohd Firdaus Mohamed berkata, Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) perlu mengambil berat isu tersebut dan melakukan sedaya upaya bagi memastikan padang bersedia sepenuhnya untuk aksi Pestabola Merdeka tersebut.

Keadaan padang itu kelihatan tidak berada dalam keadaan baik di beberapa bahagian selain turut tercabut ketika aksi final Piala FA antara Selangor FC dan Johor Darul Ta’zim (JDT) pada Sabtu lalu.

Mohd Firdaus yang juga Naib Presiden FAM berkata, keadaan padang yang teruk itu dikhuatiri akan memberikan risiko kecederaan kepada pemain.

“Kami memang kurang berpuas hati dengan kualiti padang Stadium Nasional berdasarkan perlawanan Piala FA itu. Walaupun boleh digunakan, tetapi ia tidak berada pada tahap 100 peratus dan pemain akan mudah cedera kalau bermain atas padang seperti itu.

“Saya harap mereka dapat baiki sebelum menjelang Pestabola Merdeka dan pengurusan stadium kena lihat perkara ini secara serius,” katanya kepada Sukan Sinar pada Isnin.

Beliau berkata, FAM juga akan mendapatkan penjelasan daripada PSM mengenai kualiti padang tersebut dalam satu mesyuarat yang akan berlangsung Rabu ini.

“Wakil dari PSM akan hadir dan kita akan minta penjelasan mengenai padang tersebut. Selepas itu, kami akan pergi tengok juga keadaan padang tersebut.

“Kami menggesa pengurusan stadium untuk memperbaiki padang tersebut sebab memang tiada pilihan lain selain kesuntukan masa untuk tukar stadium.

“Semua juga sudah dirancang di sana termasuk penaja sudah dimaklumkan mengenai venue untuk kejohanan tersebut. Jadi, memang tidak ada pilihan lain selain Stadium Bukit Jalil,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!



Source link

OR

Scroll to Top