Famili hancur depan mata

Famili hancur depan mata



anbia@hmetro.com.my

Aleppo: “Saya hilang segala-galanya apabila dua anak dan isteri hancur di hadapan mata akibat letupan bom tong dijatuhkan ke atas rumah oleh tentera Bashar Al-Assad. Bandar Aleppo ketika itu menjadi ‘neraka dunia’,” kata Saffuan Anjaq, 57.

Dia antara jutaan mangsa kekejaman tentera bekas Presiden Syria apabila bandar purba Aleppo, di sini, dihujani bom, roket dan peluru berpandu sekitar 2016 sebelum kerajaan itu ditumbangkan pada 8 Disember lalu.

Saffuan yang putus kaki kiri akibat serangan bom itu bagaimanapun terselamat dan kini menumpang kasih dengan ibunya untuk meneruskan kehidupan.

“Tentera Bashar ketika itu mahu menghapuskan tentera pemberontak Mujahiddin, namun jutaan rakyat tidak berdosa pula menjadi sasaran pembunuhan kejam beramai-ramai,” katanya ketika ditemui penulis di kediaman uzurnya, semalam.

Menyorot kembali tragedi menimpa, dia memberitahu kejadian berlaku kira-kira jam 10 malam Februari 2016 ketika dia sekeluarga sedang menikmati makan malam.

“Letupan besar berlaku mendadak mengakibatkan anak-anak saya yang masih kecil serta isteri maut dalam keadaan mengerikan. Saya melambung dengan serpihan letupan bom menusuk pada kaki kiri saya.

“Walaupun terselamat, kaki kiri saya terpaksa dipotong. Saya bersyukur masih ada ibu, Amirah Mahmod, 80, yang menjaga saya hingga kini,” katanya.

Saffuan sambil menitis air mata berkata demikan ketika menerima kunjungan misi sumbangan kemanusiaan Muslim Care Malaysia (MCM) diketuai Presidennya, Zulkifli Wahijan dan Setiausaha Agung, Ahmad Safuan Ujar.

Menurutnya, dia bersyukur sebaik mengetahui tentera pemberontak Hay’at Tahrir al-Sham (HTS) atau digelar Pertubuhan Pembebasan Syam berjaya menewaskan tentera Bashar sekali gus membebaskan 23 juta penduduk Syria yang diseksa sejak 50 tahun lalu.

“Allah SWT sudah membinasakan mereka. Alhamdulillah, pemimpin baharu kami, Ahmed al-Sharaa akan memulihkan semula negara yang rosak ini,” katanya.

Sementara itu, Amirah yang menghidap penyakit buah pinggang berkata, seorang anak perempuannya turut terkorban dalam serangan tentera Bashar sebelum ini.

“Kami terpaksa berpindah-randah untuk menyelamatkan diri. Mujur ada dermawan dari Turkiye yang memberikan kediaman sementara untuk kami diami,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi penduduk bandar Aleppo, Mansuor Mohd, 59, memaklumkan kehilangan tiga anaknya yang ditembak mati tentera kerajaan dalam operasi besar-besaran bagi menghapuskan pemberontakan.

Penulis yang meninjau bandar Aleppo di utara Syria sejak tiga hari lalu mendapati konflik berlarutan sebelum ini menyebabkan kemusnahan besar bandar bersejarah itu.

Puluhan ribu kediaman, masjid, sekolah dan hospital termasuk banyak monumen bersejarah mengalami kerosakan teruk akibat pertempuran. Bukti kemusnahan itu masih gagal dibaik pulih sehingga kini.

Penulis turut menyaksikan sendiri runtuhan batu besar bangunan selain kawah besar terbentuk akibat letupan bom dijatuhkan menggunakan pesawat udara.

Malah, Masjid Umayyah menempatkan makam Nabi Zakaria turut diletupkan tentera menggunakan kereta kebal.

Pintu-pintu masjid diletupkan, dinding berkecai dan menara azannya pula mengalami kerosakan teruk. Mimbar kayu bersama-sama dengan manuskrip purba dan binaan perpustakaan masjid turut dimusnahkan.

Bagaimanapun, usaha membaik pulih masjid bersejarah itu sedang giat dilakukan selepas kejatuhan rejim Bashar.

Selain itu, tentera rejim turut memusnahkan kawasan Al-Saqatiyak Souk iaitu pasar Aleppo berusia berabad lamanya dan menjadi sebahagian kawasan Tapak Warisan Dunia Unesco.

Rata-rata penduduk Aleppo ditemui masih sukar melupai hari-hari kesengsaraan dialami sebelum ini, selain cuba membina semula kehidupan baharu di celah sisa runtuhan.

Kerosakan bangunan kesan letupan besar yang berlaku masih jelas kelihatan di mana-mana, sekali gus menjadi peninggalan sejarah hitam yang terus diingati untuk generasi seterusnya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top