PETALING JAYA: Pelakon dan penyanyi Liyana Jasmay menasihatkan orang ramai agar mengutamakan aspek keselamatan termasuk amalan ‘buddy system’ ketika melakukan aktiviti mendaki susulan beberapa kes kehilangan pendaki kebelakangan ini.
Liyana atau Liyana Jasmay, 38, berkata, dia mengikuti perkembangan kes-kes kehilangan pendaki dan berharap orang ramai lebih berhati-hati ketika berada di kawasan hutan atau laluan pendakian.
“Sedih sangat bila tengok banyak kes orang hilang ketika mendaki. Saya harap semua orang amalkan ‘buddy system’ dan jangan sesekali tinggalkan kawan seorang diri ketika mendaki.
“Saya memang bukan orang yang suka mendaki atau minat sangat masuk hutan untuk beriadah. Masuk bila masa pengganbaran sahaja,” katanya menerusi satu hantaran di Threads, miliknya.
Tambah Liyana, setiap aktiviti masuk hutan semasa penggambaran, sememangnya ada persiapan rapi dilakukan termasuk membawa ustaz.
“Memang akan ada ustaz dan ahli-ahli lain yang akan ikut kami bersama. Semoga dipermudahkan untuk mencari mangsa yang hilang mendaki,” ujarnya.
Terdahulu, seorang pendaki, Nur Izzati Humaira dilaporkan hilang setelah menuruni bukit secara bersendirian dan dijumpai telah meninggal dunia di tempat kejadian pada Selasa.
Susulan perkembangan itu, Liyana Jasmay menzahirkan kebimbangan supaya semua pendaki perlu berteman sepanjang aktiviti pendakian.






