Selebriti dan penyanyi terkenal, Datuk Jamal Abdillah meluahkan rasa syukur apabila perusahaan penternakan serta pembekalan lembu korban yang diusahakan sejak tiga tahun lalu terus menerima sambutan memberangsangkan setiap kali menjelang Aidiladha.
Permintaan lembu hampir 300 ekor
Memetik laporan daripada Berita Harian, permintaan terhadap lembu yang diternak di Bukit Merah, Kerian, Perak semakin meningkat saban tahun sehingga mencecah hampir 300 ekor bagi musim perayaan kali ini.
“Alhamdulillah, tahun ini masuk tahun ketiga saya mengusahakan bekalan lembu korban. Setakat ini, permintaan mencecah antara 280 hingga hampir 300 ekor.
Sehingga hari pertama Aidiladha (semalam), saya masih berdepan kekurangan bekalan kerana ada penghantaran yang perlu dibuat, termasuk ke Kelantan yang masih memerlukan tambahan bekalan.
Alhamdulillah, tahun ini permintaan semakin meningkat berbanding sebelum ini,” katanya.

Hanya sempat lakukan korban pada hari raya kedua atau ketiga
Jelas Jamal lagi, kesibukan menguruskan penghantaran ke beberapa negeri termasuk Kedah, Pahang, Selangor, Johor dan beberapa lokasi lain menyebabkan beliau terpaksa menangguhkan ibadah korban pada hari pertama Aidiladha dan merancang untuk melaksanakannya pada hari kedua atau ketiga.
“Tahun ini saya buat korban pada hari kedua atau ketiga kerana terlalu sibuk menguruskan penghantaran lembu ke lokasi lain.
“Malah, pada malam sebelum Aidiladha pun masih ada lori yang masuk selepas jam 12 tengah malam untuk mengambil bekalan dan dihantar ke lokasi tertentu.
“Selepas selesai solat sunat Aidiladha, penghantaran dibuat mengikut daerah dan jumlah yang ditetapkan. Jadi, saya memilih untuk melaksanakannya pada hari ketiga, insya-Allah,” ujarnya.

Dalam masa sama, beliau mengakui urusan logistik banyak dibantu oleh isterinya memandangkan dirinya masih aktif dengan jadual seni yang padat.
Katanya, perusahaan tersebut bukan sekadar perniagaan utama, sebaliknya lebih kepada minat dan hobi yang kini berkembang sebagai sumber pendapatan sampingan.
Sumber: Berita Harian (Affan Rostam)






