Pempengaruh media sosial dan aktivis kemanusiaan, Farah Lee berkata meskipun tidak pernah menyaksikan letupan atau serangan dihadapan mata namun mendengar cerita pasca perang memberi impak pada dirinya.
Memetik Utusan Malaysia, Farah berkata paling tidak dapat dilupakan ketika dia menyertai Misi Ramadan di Syria yang dilakukannya kira-kira dua tahun lalu sehingga memberi kesan sehingga dia mengalami mimpi ngeri.
BACA: Enggan Terlibat Riba, Usia 36 Tahun Farah Lee Belum Ada Rumah Sendiri
“Ada kesan gangguan tekanan pasca trauma ketika saya melakukan misi di Syria terutama dari segi kesihatan. Balik
daripada misi Gaza tempoh hari juga, saya tak dapat tidur.
“Apabila saya akhirnya terlena, saya akan bermimpi perkara yang pelik-pelik, ganas, bunuh dan berdarah-darah,” katanya.
Bukan itu saja, dia turut mengalami mimpi ngeri arwah bapanya menjadi mangsa kekejaman, berlumuran darah dan dibunuh di depan mata sedangkan arwah meninggal akibat sakit jantung.
“Saya terjaga dalam keadaan terkejut dan menangis semahunya. Walaupun saya tahu itu hanya mimpi dan arwah ayah meninggal dunia kerana sebab lain, namun kesan emosi itu tetap terasa benar,” katanya.
Namun, Farah berkata trauma dilaluinya hanya dengan mendengar cerita mereka dan tidak dapat menandingi dengan apa yang dihadapi mangsa peperangan.
“Bayangkan saya jadi begitu hanya sebab dengar cerita mereka. Tapi bayangkan mereka di sana yang lalui pengalaman itu, otak pecah, kutip otak anak dan sebagainya.
“Saya harap cerita ini boleh menjadikan kita lebih mempunyai rasa empati tentang keadaan orang lain,” katanya.
Sumber: Utusan Online






