mohdsyazwan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Hasrat peminat sukan tanah air untuk melihat pingat ketiga negara menjelma tidak kesampaian apabila pemain badminton negara Muhammad Fareez Anuar kecundang di tangan wakil Indonesia Dheva Anrimusthi pada penentuan gangsa perseorangan lelaki SU5 (kecacatan fizikal) di Porte de La Chapelle Arena, sebentar tadi.
Walaupun tidak berjaya membawa pulang gangsa, namun pujian harus diberikan kepada Fareez yang mampu melangkah jauh walaupun kali pertama beraksi di pentas Paralimpik.
Pada perlawanan sebentar tadi menyaksikan Fareez terpaksa akur kepada pemenang pingat perak Paralimpik Tokyo menerusi keputusan 21-17, 19-21, 12-21.
Pada set pertama, Fareez mempamerkan aksi menyakinkan dengan memenangi perlawanan 21-17.
Namun, Dheva mengubah corak permainan sekali gus mampu menguasai gelanggang untuk mengesahkan kemenangan pada dua set berikutnya.
Fareez yang juga pemain nombor empat dunia, masih boleh berbangga dengan penampilan sulung yang mengagumkan di Sukan Paralimpik apabila menjuarai Kumpulan B yang dikenali sebagai ‘Kumpulan Maut’.
Beliau memulakan kempen dengan mengejutkan pilihan kedua, Fang Jen-Yu dari Taiwan 21-14, 21-18 sebelum melakukan dua kebangkitan hebat untuk menewaskan Dheva 14-21, 21-19, 21-19 dan pemain Jepun, Taiyo Imai 17-21, 21-17, 21-17.
© New Straits Times Press (M) Bhd