Penyanyi dan cef selebriti, Datuk Fazley Yaakob, kembali menghangatkan industri muzik dengan single terbaharu berjudul Tiga Kali, hasil kolaborasi bersama penyanyi baharu berbakat besar, Iela Nabila.
Lagu ciptaan DJ Fuzz dan Hez Hazmi ini mengetengahkan rentak rancak berinspirasikan dunia kelab malam dengan lirik yang menyentuh kisah kecurangan dan kekuatan untuk bangkit semula.
Menurut DJ Fuzz, lagu ini diilhamkan daripada pengalaman sebenar seorang rakan yang pernah dicurangi berulang kali.
“Hez Hazmi tulis lirik berdasarkan kisah benar kawannya yang dicurangi tiga kali. Saya ubah sedikit bahagian muzik supaya lebih rancak dan bertenaga. Walaupun kisahnya sedih, kami mahu pendengar menari sambil rasa kuat,” katanya.
Bagi Fazley, lagu ini membawa makna istimewa kerana dihasilkan tiga tahun lalu dan secara simbolik mencerminkan fasa baharu dalam hidup serta kariernya.
“Sekarang ramai kongsi kisah curang di media sosial, kebanyakannya dari sisi wanita. Saya nak tunjuk pandangan lelaki pula. Sebagai pakar motivasi, saya selalu dengar orang anggap curang itu biasa. Jadi saya jadikan kisah ini lagu untuk beri semangat supaya teruskan hidup dan ‘move on’,” katanya.
Fazley turut menjelaskan lagu ini dipilih selepas menerima maklum balas positif daripada rakan, anak-anak dan peminat.
“Sembilan daripada sepuluh orang pilih lagu ini berbanding balada saya sebelum ini. Jadi saya tahu ini masa yang sesuai untuk tampil dengan sesuatu yang lebih segar dan dekat dengan generasi muda,” tambahnya.
Sementara itu, Iela Nabila dipilih selepas pasukan produksi meneliti beberapa calon penyanyi di media sosial.
“Kami cari suara yang ada karakter dan mesra TikTok. Bila tengok cara Iela nyanyi secara langsung, terus rasa dia paling sesuai. Kolaborasi ini juga menjadi langkah pertama Iela dalam industri muzik arus perdana.
“Menariknya, Tiga Kali turut akan diterbitkan dalam versi piring hitam (vinyl record). Saya datang dari zaman kaset. Anak-anak saya pun tak tahu apa itu kaset. Jadi selain versi digital, saya nak hasilkan edisi khas piring hitam untuk peminat setia,” kata Fazley.






