Sze Fei (kanan) dan Nur Izzuddin akan menyertai Terbuka China di Changzhou bermula Selasa. Foto Agensi
BEREGU lelaki profesional negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani tekad bangkit di Terbuka China Super 1000 minggu ini dengan memberi tumpuan sepenuhnya kepada aspek yang perlu diperbaiki selepas gagal mempertahankan kejuaraan di Tokyo.
Menurut jurulatih mereka, Teo Kok Siang, semangat dan komitmen tinggi yang ditunjukkan kedua-dua pemain menjadi petanda positif menjelang aksi di Changzhou.
“Kami akan terus bekerja keras dan kenal pasti kelemahan yang perlu diperbaiki.
“Mereka masih bersemangat dan kekal fokus untuk bangkit semula. Itu yang paling penting,” ujar Kok Siang.
Sze Fei-Izzuddin menamatkan kempen Terbuka Jepun selaku naib juara selepas tunduk 16-21, 17-21 kepada gandingan Korea Selatan, Kim Won-ho-Seo Seung-jae.
Gandingan Korea Selatan itu ialah lawan sama yang menjinakkan Sze Fei-Nur Izzuddin di Terbuka India pada Januari lalu.
Selaku naib Juara di Tokyo, Sze Fei-Nur Izzuddin membawa pulang wang tunai AS$33,250 (sekitar RM141,000), manakala pasangan Korea itu menggenggam kejuaraan bersama hadiah AS$70,300 (RM298,500).