May 27, 2024

Financial Fair Play dilaksana musim ini


KUALA LUMPUR – Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mengumumkan Financial Fair Play (FFP) akan dilaksanakan dalam saingan Liga Malaysia 2024-2025.

MFL berkata, sejak FFP dimaklumkan akan dilaksanakan dalam Liga untuk 2024 dan musim seterusnya, satu kajian mendalam telah dilakukan oleh Unit Pelesenan Kelab MFL bagi menyesuaikan FFP dengan ekosistem bola sepak tanah air serta merujuk FFP kepada Konfederasi Bolasepak Asia (AFC).

Katanya, hasil daripada kajian tersebut, sistem yang disesuaikan untuk keperluan Liga Malaysia bagi pelaksanaan FFP itu telah dipersetujui oleh Ahli Lembaga Pengarah MFL menerusi mesyuarat yang diadakan pada 6 Mac 2024.

“Tahun pertama FFP dalam Liga Malaysia dilihat sebagai tahun pengenalan untuk memantau pembayaran gaji pemain dan pegawai yang menjadi isu utama dihadapi dalam liga serta meningkatkan tanggungjawab kelab dalam memastikan kestabilan kewangan yang kukuh.

“Setelah proses penyerahan dokumentasi dan prosedur pemantauan yang dilaksanakan telah disesuaikan oleh kelab Liga Malaysia, mulai tahun kedua dan seterusnya, MFL akan terus memantau dan melaksanakan peraturan pendapatan serta perbelanjaan berhemat untuk memastikan kemampanan jangka panjang kelab-kelab,” katanya MFL dalam satu kenyataan di Facebook miliknya hari ini.

Financial Fair Play adalah sebuah undang-undang yang ditubuhkan oleh Kesatuan Bola Sepak Eropah (UEFA) untuk mengelakkan kelab-kelab bola sepak professional melakukan perbelanjaan dalam perpindahan pemain lebih daripada kemampuan kelab tersebut.

Jika sebuah kelab itu mengalami masalah kewangan yang kronik, kelab tersebut akan mempunyai masalah untuk membuat perancangan jangka panjang kerana kewangan yang teruk. Ianya diperkenalkan dan dipersetujui pada September 2009 oleh Panel Kawalan Kewangan, sebuah badan pentadbiran kelolaan UEFA.

Sementara itu, MFL turut memaklumkan telah menganjurkan sesi pertama taklimat FFP menerusi dalam talian dengan semua kelab pada 25 April lalu dan telah berkongsi keperluan FFP untuk musim 2024-2025.

Sesi itu turut dihadiri Pengerusi MFL FFP, Tn Sheikh Mohd Nasir Sheikh Mohd Sharif.

“Berikutan sesi ini, bengkel fizikal selanjutnya akan dianjurkan dalam masa terdekat untuk membincangkan peraturan FFP baharu yang akan dilaksanakan untuk musim 2025-2026 pula,” kata MFL. – MalaysiaGazette



Source link

OR

Scroll to Top