FPDA akan perluaskan kerjasama ke bidang bukan konvensional

FPDA akan perluaskan kerjasama ke bidang bukan konvensional


SINGAPURA – Perjanjian Pertahanan Lima Negara (FPDA) akan meluaskan kerjasama ke dalam bidang bukan konvensional seperti menangani keganasan, keselamatan maritim, bantuan kemanusiaan dan bencana, serta peperangan siber dan dron, lapor CNA.

FPDA yang ditubuhkan pada tahun 1971 berlatar belakangkan konflik bersenjata di seluruh Asia Tenggara terdiri daripada Singapura, Malaysia, Australia, New Zealand dan United Kingdom.

Menteri Pertahanan Singapura Dr Ng Eng Hen yang menjadi tuan rumah bagi Mesyuarat Menteri Pertahanan FPDA ke-12 (FDMM) di sebuah hotel di sini pada Jumaat, berkata sesi itu “sangat berjaya”.

Mesyuarat ini juga dihadiri oleh Menteri Pertahanan Malaysia Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan Australia Richard Marles, Menteri Pertahanan New Zealand Judith Collins KC, dan Ketua Pengarah (Dasar Keselamatan) United Kingdom, Paul Wyatt.

Bercakap semasa sidang media bersama selepas mesyuarat, Dr Ng berkata para pemimpin bersetuju bahawa untuk memastikan kumpulan ini kekal relevan dan terus maju, ia akan berusaha meningkatkan keupayaan perang konvensional dengan memasukkan lebih banyak peralatan atasan, lapor CNA.

Mohamed Khaled berkata: “Dalam bidang bukan konvensional, kami membincangkan dan mempertimbangkan tentang keperluan untuk membina keupayaan dalam bidang seperti menangani keganasan, keselamatan maritim, bantuan kemanusiaan serta bencana. Ini akan menjadi bidang baharu yang akan kami teliti selain ancaman tradisional.”

Sementara itu, dalam kenyataan bersama, para Menteri berkata mesyuarat membincangkan cara untuk angkatan tentera mempertingkatkan nilai profesional latihan bersama sambil mengekalkan penekanan mereka pada siri latihan konvensional atasan.

“Idea yang dibincangkan termasuk menggabungkan keupayaan generasi akan datang, seperti jet pejuang F-35 dari Australia, pesawat peronda maritim P-8 Poseidon dari New Zealand, dan elemen dari Kumpulan Serangan Kapal Induk dari UK, serta sistem tanpa pemandu dan senario keselamatan bukan tradisional, sebagai sebahagian daripada latihan,” kata mereka.

Para Menteri juga mengulangi komitmen negara mereka yang kuat dan berterusan terhadap FPDA, menyatakan bahawa ia adalah perjanjian multilateral yang unik, melalui bidang kuasanya telah memainkan peranan konstruktif dalam meningkatkan keamanan dan keselamatan serantau.

Laman sesawang rasmi FPDA, www.fivepowerdefencearrangements.org juga dilancarkan pada Jumaat, yang bertujuan memberikan maklumat tambahan kepada orang awam tentang bagaimana FPDA berfungsi sebagai perjanjian pertahanan yang bertujuan membina kepercayaan dan keyakinan di rantau ini.

Sebagai sebahagian daripada FDMM, para Menteri dan Ketua Pengarah UK akan mengadakan kunjungan hormat kepada Perdana Menteri Lawrence Wong di Istana pada Jumaat.

Sementara itu, Kementerian Pertahanan Malaysia dalam satu kenyataan memaklumkan mesyuarat FPDA ini adalah yang pertama disertai Mohamed Khaled sejak dilantik sebagai Menteri Pertahanan pada Disember 2023.

Penyertaan itu penting bagi memastikan hubungan kerjasama pertahanan pelbagai hala antara Malaysia dengan negara-negara anggota FPDA dapat dikekalkan dan seterusnya dipertingkatkan selaras dengan Tonggak Strategi Perkongsian Berwibawa yang digariskan di dalam Kertas Putih Pertahanan.

FDMM diadakan setiap tiga tahun, dengan Singapura dan Malaysia bergilir-gilir menjadi tuan rumah. Ia adalah platform membuat keputusan tertinggi FPDA, dan ia berfungsi sebagai platform berharga untuk dialog dan pertukaran pandangan antara Menteri Pertahanan FPDA. – BERNAMA



Source link

OR

Scroll to Top