London: Pertahanan Arsenal, Gabriel diketepikan akibat kecederaan otot di paha kanannya, menurut Persekutuan Bola Sepak Brazil (CBF) sehari selepas dia terpaksa keluar padang pada aksi persahabatan menentang Senegal yang berlangsung di gelanggang kelabnya di London Utara.
Pemain berusia 27 tahun itu, yang beraksi dalam setiap perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) untuk pendahulu Arsenal musim ini, tidak akan menyertai skuad Brazil ke Lille bagi perlawanan persahabatan menentang Tunisia pada awal pagi Rabu, tambah CBF dalam satu kenyataan.
Kenyataan itu tidak menyatakan anggaran tempoh Gabriel akan berehat. Kecederaan hamstring dialami pada April lalu telah menyisihkannya selama lebih tiga bulan.
Kecederaan terbaharu itu menjadi tamparan buat Arsenal, yang bakal berdepan seteru setempat Tottenham Hotspur dan Chelsea bulan ini, ketika mereka mempertahankan kelebihan empat mata di puncak liga. Arsenal juga akan menjadi tuan rumah kepada Bayern Munich dalam saingan Liga Juara-Juara pada 26 November.
Gabriel pertahanan kedua Arsenal yang mengalami kecederaan dalam minggu ini, selepas pengurus Itali, Gennaro Gattuso, mengesahkan pada Sabtu bahawa Riccardo Calafiori meninggalkan kem latihan kebangsaan akibat kecederaan.
Penyerang Arsenal Kai Havertz dan Viktor Gyokeres turut diketepikan kerana kecederaan, bersama pemain sayap Noni Madueke dan Gabriel Martinelli, serta pemain tengah menyerang Martin Odegaard.
Penyerang Gabriel Jesus pula kembali menjalani latihan selepas mengalami kecederaan ligamen cruciate pada Januari, namun masih belum membuat penampilan kompetitif pertamanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd





