Gabriel pernah meniru gaya sambutan gol ikonik Gyokeres dalam pertembungan Liga Juara-Juara musim lalu. Foto Agensi
TONGGAK pertahanan Arsenal, Gabriel Magalhaes memberikan bayangan bahawa musim 2025/26 bakal menjadi titik kebangkitan The Gunners, sambil mengiktiraf ketajaman penyerang Sporting Lisbon, Viktor Gyokeres yang sedang hangat dikaitkan dengan perpindahan ke Emirates.
Gyokeres yang mempamerkan ketajaman di depan gol dengan 54 jaringan dalam 52 perlawanan musim lalu, hampir pasti menyertai Arsenal menerusi perpindahan bernilai £62.4 juta (RM379 juta) termasuk bonus prestasi.
Difahamkan, penyerang prolifik Sweden itu telah bersetuju dengan kontrak lima tahun, namun rundingan masih berlangsung berikutan perbezaan pendirian mengenai struktur pembayaran.
Gabriel yang pernah berdepan Gyokeres dalam aksi peringkat kumpulan Liga Juara-Juara, menyifatkan lawannya itu sebagai penyerang yang sukar dijinakkan.
“Dia seorang penyerang yang lincah, kuat secara fizikal dan bijak membaca permainan. Kami tahu kualiti yang dimilikinya. Bermain menentangnya adalah satu cabaran besar,” katanya kepada BBC Sport.
Dalam pada itu, Arsenal terus memperkukuh jentera pasukan menerusi kemasukan pemain seperti Martin Zubimendi, Christian Norgaard, Noni Madueke dan penjaga gol Kepa Arrizabalaga dalam jendela perpindahan musim panas ini.
Musim lalu, Arsenal menamatkan kempen Liga Perdana Inggeris (EPL) di tangga kedua buat kali ketiga berturut-turut, namun Gabriel menegaskan bahawa skuad kendalian Mikel Arteta kini berada di landasan terbaik untuk menamatkan penantian kejuaraan liga sejak 2004.
“Saya sudah lima tahun di sini dan saya nampak bagaimana kelab ini berkembang.
“Kami pernah hampir menjulang trofi tetapi kali ini, saya yakin kami tidak akan terlepas lagi,” katanya.
Arsenal akan meneruskan aksi pramusim dalam siri Jelajah Asia dengan menentang AC Milan pada Rabu ini dan Newcastle United pada 27 Julai dalam saingan Festival Bola Sepak Singapura, sebagai medan pemanas badan menjelang sepak mula musim baharu EPL.