KUALA LUMPUR: Jurulatih tempatan menerima kenaikan gaji melebihi RM8,000 sebulan di bawah Skim Pekerjaan Jurulatih Kebangsaan (SPJK) 2024 iaitu peningkatan 25 hingga 40 peratus kadar gaji asas berdasarkan tahap Skim Persijilan Kejurulatihan Kebangsaan (SPKK).
Majlis Sukan Negara (MSN) dalam satu kenyataan berkata, di bawah pelaksanaan Skim Pekerjaan Jurulatih Kebangsaan (SPJK) 2024, seramai sembilan jurulatih tempatan yang juga bekas atlet kebangsaan telah pun menerima gaji melebihi RM8,000 sebulan.
Katanya, penetapan kadar imbuhan dibuat berdasarkan kelayakan, pengalaman serta prestasi semasa dalam perkhidmatan sebagai jurulatih kebangsaan.
“MSN ingin menegaskan bahawa di bawah pelaksanaan Skim Pekerjaan Jurulatih Kebangsaan (SPJK) 2024, seramai sembilan jurulatih tempatan yang juga merupakan bekas atlet kebangsaan menerima gaji melebihi RM8,000 sebulan.
“Penetapan kadar imbuhan ini adalah berdasarkan pendekatan yang mengambil kira aspek kelayakan, pengalaman serta prestasi semasa dalam perkhidmatan sebagai jurulatih kebangsaan.
“Bagi sukan wushu khususnya, jurulatih tempatan yang mempunyai pengalaman luas serta rekod pencapaian di peringkat antarabangsa turut menerima kadar imbuhan yang kompetitif, selaras dengan tahap kepakaran dan sumbangan mereka dalam memperkukuh pembangunan serta prestasi atlet negara,” kata kenyataan itu.
MSN mengulas kenyataan Persekutuan Wushu Malaysia (PWM) yang bimbang kecenderungan jurulatih tempatan yang beralih minat berkhidmat di luar negara gara-gara gaji yang ditawarkan tinggi.
Presiden Persekutuan Wushu Malaysia (PWM), Chong Kim Fatt berkata, faktor utama yang mendorong trend ini kerana gaji yang ditawarkan di Malaysia rendah berbanding di negara lain.
Menurut MSN, pihaknya juga telah meluluskan penstrukturan semula SPJK melibatkan peningkatan antara 25 hingga 40 peratus kadar gaji asas berdasarkan tahap Skim Persijilan Kejurulatihan Kebangsaan (SPKK), berkuat kuasa 1 Januari 2024.
Katanya, penambahbaikan itu turut merangkumi imbuhan tambahan berdasarkan tempoh perkhidmatan dalam bidang kejurulatihan serta ganjaran berasaskan pencapaian terbaik ketika bergelar atlet sebagai galakan kepada bekas atlet kebangsaan terus menyumbang kepada negara.
Dalam masa sama, MSN turut menyarankan persatuan sukan kebangsaan agar memainkan peranan lebih proaktif dalam menjaga kebajikan jurulatih menerusi pemberian imbuhan tambahan.
Katanya., selain gaji asas dan elaun khas jurulatih, mereka juga layak dipertimbangkan untuk kenaikan gaji secara berkala setiap dua tahun, tertakluk kepada penilaian prestasi serta pencapaian di temasya utama dan kejohanan dunia.
“Menerusi Skim Ganjaran Jurulatih (SGAR) pula, jurulatih menerima 20 peratus daripada jumlah ganjaran yang diperoleh atlet melalui Skim Hadiah Kemenangan Atlet Kebangsaan (SHAKAM) dan Skim Hadiah Kemenangan Atlet Remaja (SHAKAR) bagi kejayaan di kejohanan diiktiraf,” katanya.-UTUSAN






