Gangguan berulang perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) laluan Kelana Jaya pada awal Ramadan mengundang perhatian serius kerajaan apabila Anthony Loke Siew Fook mengarahkan siasatan segera dijalankan terhadap insiden terbabit.
Menteri Pengangkutan itu menegaskan, rakyat berhak menikmati perkhidmatan pengangkutan awam yang efisien, selamat dan boleh diharap, lebih-lebih lagi ketika bulan Ramadan yang menyaksikan peningkatan jumlah penumpang pada waktu puncak.
“Saya telah mengarahkan CEO Prasarana untuk memberi penjelasan dalam mesyuarat pasca-kabinet berserta pelan tindakan pemulihan segera,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.


Anthony Loke arah siasatan segera!
Menurut beliau, Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) turut diarahkan menjalankan siasatan terhadap insiden berkenaan dan mengambil tindakan terhadap Prasarana Malaysia Berhad sekiranya terbukti berlaku kelemahan operasi yang tidak munasabah.
Terdahulu, media melaporkan perkhidmatan Rapid KL LRT laluan Kelana Jaya sekali lagi mengalami gangguan pagi ini sehingga menyebabkan kesesakan luar biasa di kebanyakan stesen.
Artikel lain: MOT pandang serius! Lesen PSV pemandu Grab terlibat gangguan seksual dibatal – Anthony Loke
Tinjauan di media sosial mendapati orang ramai terpaksa bersesak di Stesen Sri Rampai, Pasar Seni, Masjid Jamek, KLCC dan beberapa stesen lain ketika waktu puncak.

Lebih membimbangkan, tular sekeping gambar memaparkan seorang penumpang pitam dipercayai akibat terlalu lama berhimpit dan menunggu tren.

Insiden terbaharu itu mencetuskan kemarahan pengguna yang menyifatkan alasan gangguan teknikal selama dua hari berturut-turut sebagai tidak munasabah, sekali gus menimbulkan persoalan terhadap tahap kesiapsiagaan operasi sepanjang Ramadan.





