sukan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: 23 pemain secara rasmi akan menggalas misi skuad Bawah 23 tahun (B-23) Malaysia untuk memburu tiket ke Olimpik Paris 2022 di Piala Asia B-23 di Qatar yang akan membuka tirai pada Rabu depan.
Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menerusi Facebook rasmi hari ini menyenaraikan skuad terbaik meskipun terdapat beberapa pemain terpaksa disisihkan ekoran kecederaan yang dialami oleh mereka.
Empat pemain yang tidak akan bersama-sama skuad muda kali ini adalah Azam Azmi Murad, V Ruventhiran, Richard Chin dan Rahadiazli Rahalim.
Oleh itu, skuad bimbingan Juan Torres Garrido akan diperkuatkan oleh tiga penjaga berpengalaman iaitu Sikh Izhan, Azim Al-Amin dan Firdaus Irman.
Bagi memastikan pertahanan Malaysia B-23 mengekang setiap asakan lawan, Harith Haiqal akan mengetuai posisi berkenaan sambil dibantu oleh Aiman Yusni, Ubaidullah Shamsul, Safwan Mazlan, Saiful Jamaluddin, Zikri Khalili dan Azrin Afiq.
Sementara posisi tengah, pengalaman yang ada pada ketua pasukan B-23 Malaysia, Mukhairi Ajmal sudah pasti ditagih oleh Garrido untuk menggerakkan bahagian serangan.
Beberapa pemain lain seperti Najmudin Akmal, Nooa Laine, Umar Hakeem, Muhammad Khalil, Syahir Bashah dan Daryl Sham juga akan membantu Mukhairi untuk mendapatkan jaringan.
Untuk bahagian serangan Malaysia akan diketuai oleh pemain yang berkelana di Jepun, Luqman Hakim Shamsuddin dan dibantu oleh Fergus Tierney, Aliff Izwan, T Saravanan, Haqimi Rosli dan Alif Zikri.
Bagi kempen Piala Asia B-23 di Qatar, skuad Harimau Malaya B-23 yang diundi dalam Kumpulan D akan membuka saingan menentang Uzbekistan pada 17 April diikuti aksi bertemu Vietnam (20 April) dan Kuwait (23 April).
© New Straits Times Press (M) Bhd