Kuala Lumpur: Malaysia bersedia menghantar anggota Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) ke Filipina sekiranya terdapat keperluan dan permintaan bagi misi bantuan kemanusiaan susulan gempa bumi yang melanda Cebu dan kawasan sekitar.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata langkah berkenaan bagi menzahirkan komitmen Malaysia terhadap solidariti serantau ASEAN serta memastikan bantuan kemanusiaan dapat digerakkan demi menyelamatkan nyawa dan memulihkan kehidupan mangsa bencana di negara itu.
“Marilah kita bersama-sama mendoakan agar rakyat Filipina terus dikurniakan kekuatan, ketabahan dan perlindungan Ilahi dalam menghadapi ujian besar ini.
“Semoga setiap usaha mencari dan menyelamat dipermudah, setiap mangsa yang terjejas mendapat pembelaan dan negara Filipina kembali pulih dan membina semula kehidupan rakyatnya yang terjejas akibat gempa bumi yang berlaku,” katanya menerusi hantaran Facebook hari ini.
Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat turut merakamkan simpati terhadap rakyat Filipina susulan bencana itu yang telah mencederakan ratusan mangsa dan menjejaskan kehidupan jutaan penduduk di wilayah terlibat.
Menurut Ahmad Zahid, laporan awal menunjukkan kerosakan infrastruktur yang amat serius, termasuk runtuhan separa dan kerosakan pada bangunan kediaman serta komersial.
“Malah, Archdiocesan Shrine of Santa Rosa de Lima di Daanbantayan, sebuah struktur bersejarah berusia ratusan tahun turut mengalami keruntuhan separa.
“Gangguan bekalan elektrik juga dilaporkan berlaku di beberapa kawasan manakala jalan raya, jambatan dan infrastruktur kritikal lain turut rosak teruk dengan anggaran awal nilai kerosakan keseluruhan mencecah USD45.7 bilion,” katanya.
Menurut laporan media antarabangsa, sekurang-kurangnya 26 orang maut manakala 147 lagi cedera selepas gempa bumi bermagnitud 6.9 melanda perairan wilayah Cebu pada malam Selasa.
Majlis Pengurusan dan Pengurangan Risiko Bencana Negara Filipina pada Rabu memaklumkan angka korban dijangka terus meningkat.
© New Straits Times Press (M) Bhd