zanariah_mutalib@bh.com.my
Kuala Lumpur: Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) bagi Misi Bantuan Kemanusiaan Malaysia (MAS-01) ke Myanmar, hari ini menemukan dua mayat dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) di tiga lokasi di Sagaing, Myanmar, yang dilanda gempa bumi.
Pasukan MAS-01 berkata, operasi hari pertama dijalankan di sebuah sekolah persendirian, yang menemukan satu mayat guru wanita.
Katanya, mangsa berjaya dikesan menggunakan kamera IRIS pada 9.45 pagi (waktu tempatan) dan berjaya dikeluarkan pada 12.45 tengah hari, sebelum diserahkan kepada pihak berkuasa tempatan.
Pasukan itu berkata, pencarian menyeluruh di lokasi kedua di sebuah masjid tidak menemukan mangsa, manakala lokasi ketiga, iaitu rumah kedai menemukan satu mayat lelaki.
“Mayat mangsa berjaya dikeluarkan oleh pasukan pada 4.50 petang dari lantai bangunan berkenaan dan diserahkan kepada pihak berkuasa tempatan,” katanya dalam laporan.
Pasukan MAS-01 memaklumkan, operasi yang berakhir pada 6 petang itu akan bersambung esok.
Terdahulu, sebelum memulakan tugas hari ini, pasukan meluangkan masa kira-kira 10 minit meraikan Aidilfitri, dengan menunaikan solat sunat dan bersalaman.
Sementara itu, media Myanmar melaporkan, MAS-01 menjadi pasukan penyelamat asing pertama yang tiba di Sagaing, yang dilanda gempa bumi berukuran 7.7 magnitud pada Jumaat lalu.
MAS-01 tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Nay Pyi Taw tengah hari semalam waktu Myanmar bagi menjalankan misi kemanusiaan dan membantu operasi mencari dan menyelamat mangsa gempa bumi di Myanmar.
Pasukan dengan kekuatan 50 anggota itu kemudian menempuh perjalanan darat sejauh 270 kilometer yang mengambil masa 24 jam dengan melalui 10 checkpoint keselamatan sebelum tiba di daerah Sagaing pada 4 pagi tadi waktu Myanmar dan mendirikan Pusat Operasi di Sagaing Anniversary Football Pitch.
© New Straits Times Press (M) Bhd