Gempa bumi: Sediakan pelan, beg kecemasan, siap sedia hadapi bencana

Gempa bumi: Sediakan pelan, beg kecemasan, siap sedia hadapi bencana


am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Gempa bumi mungkin jarang berlaku di Malaysia, namun ia bukan alasan untuk orang ramai mengambil mudah aspek keselamatan demi melindungi diri dan keluarga.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Dengkil, Penolong Penguasa Bomba (PPgB), Mohamad Saifuddin Mohamad Hussin, berkata, persediaan tetap penting kerana gegaran masih boleh dirasai seperti yang berlaku di Johor, baru-baru ini.

Menurutnya, orang ramai dinasihatkan untuk memeriksa tahap keselamatan kediaman serta mengenal pasti objek mudah bergerak yang boleh mengundang bahaya.

“Pastikan objek tajam dan berbahaya disimpan di tempat yang sesuai supaya tidak menyebabkan kecederaan sekiranya berlaku gegaran.

“Orang ramai juga digalakkan menyediakan pelan kecemasan dan pelan komunikasi bersama keluarga supaya sentiasa bersiap sedia ketika berdepan sebarang bencana seperti gempa bumi,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Katanya, selain daripada memeriksa dan menyediakan pelan, keperluan beg kecemasan juga digalakkan bagi setiap individu supaya memudahkan urusan sekiranya berlakunya perkara yang tidak dijangka.

“Setiap rumah perlu ada beg kecemasan yang diletakkan di lokasi mudah dicapai. Beg itu juga perlu mengandungi dokumen penting, makanan tahan lama, air, kit perubatan, lampu suluh dan ubat-ubatan,” katanya.

Mohamad Saifuddin turut menegaskan, beg kecemasan amat penting kerana ia membolehkan mangsa terus bertahan dalam tempoh awal bencana, selain mempercepatkan proses menyelamat dan pengungsian.

Dalam pada itu, beliau juga menasihatkan orang ramai untuk supaya tidak panik dan segera bertindak dalam mencari tempat berlindung sekiranya gempa bumi berlaku.

“Cari tempat perlindungan sesuai seperti berteduh di bawah meja kukuh dan elakkan diri daripada berada berhampiran tingkap serta objek berat kerana ia mudah pecah atau tumbang ketika gegaran,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top