Jakarta: Pasukan penyelamat yang berjuang mengeluarkan pelajar dari runtuhan di Pondok Pesantren Al Khoziny, Desa Buduran, Sidoarjo, Jawa Timur, menghadapi tugas lebih sukar berikutan pihak berkuasa bimbang gempa bumi menjadikan serpihan runtuhan lebih padat.
Pihak berkuasa menyatakan 91 orang disenaraikan sebagai hilang, 100 orang dipindahkan dan berpuluh-puluh cedera.
Runtuhan berlaku ketika pelajar sedang menunaikan solat Asar di sebuah masjid di tingkat bawah bangunan berkenaan di mana tingkat atas bangunan itu sedang dalam pembinaan.
Gempa bumi berukuran 6.5 magnitud pada Selasa mengecilkan ruang untuk mangsa yang masih terperangkap hingga menyulitkan tugas penyelamat kerana mengehadkan ruang pergerakan, kata Emi Frizer, seorang pegawai agensi mencari dan menyelamat Indonesia.
“Kita perlu pastikan mangsa terus hidup sambil mempunyai akses sama. Ini akan mengambil masa sedikit,” katanya.
Katanya, penyelamat perlu berhati-hati agar tidak mencederakan anggota badan mangsa semasa menyelamat.
“Jika ruang awalnya 50 cm tinggi, ia runtuh menjadi 10 cm. Kami bimbang ia memberi kesan kepada mangsa,” kata Mohammad Syafii, ketua agensi mencari dan menyelamat.
Pegawai bencana menyatakan tiga orang maut dalam runtuhan sekolah berasrama di bandar Sidoarjo, kira-kira 780 km di timur Jakarta.
Gempa bumi di wilayah Sumenep, kira-kira 200 km dari lokasi runtuhan, mencederakan tiga orang dan merosakkan berpuluh-puluh rumah, kata agensi mitigasi bencana Indonesia pada Rabu.
Penyelamat mengesan tanda-tanda kehidupan yang membantu mereka mengecilkan pencarian mangsa, kata Emi.
Pihak berkuasa menyatakan asas bangunan tidak dapat menampung kerja pembinaan di tingkat atas, menyebabkan runtuhan.
“Ini semua kegagalan asas,” tambah Emi.
Sebuah jengkaut dan kren berada di lokasi untuk membantu penyelamat mengalihkan serpihan. Namun, pegawai tempatan Nanang Sigit menolak penggunaan alat berat itu kerana bimbang ia boleh mencetuskan runtuhan lebih besar.
© New Straits Times Press (M) Bhd