Gerakan bantah penubuhan 200 Duta Online, anggap ia membazir

Gerakan bantah penubuhan 200 Duta Online, anggap ia membazir


KUALA LUMPUR – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dinasihatkan tidak berselindung dan memutar belit tujuan penubuhan 200 Duta Online yang dikatakan untuk menyampaikan maklumat yang sahih dan mengatasi fitnah.

Gerakan mengkritik sekeras-kerasnya tindakan KPKT tersebut dan menganggap ia satu pembaziran dana awam yang serius.

Presidennya, Dr Dominic Lau Hoe Chai berkata, dalam situasi ekonomi semasa, kerajaan seharusnya memberi tumpuan pada penyelesaian masalah rakyat dan bukan membuang dana besar pada projek yang tidak menepati keperluan rakyat.

“Apakah masalah tanah dan bangunan tidak siap telah diselesaikan? Ramai rakyat Malaysia masih tidak memiliki rumah kerana harga rumah sangat melampau. Apakah status terkini rumah PR1MA?” soalnya dalam kenyataan.

Tugas Duta Internet yang kononnya menyampaikan maklumat yang betul tetapi sebenarnya apabila ditafsir ia adalah usaha kerajaan untuk mengawal pendapat umum dan mungkin menjadi “tentera siber” menggunakan cukai rakyat untuk menekan suara berbeza dan menyembunyikan kebenaran.

Gerakan menasihatkan Nga Kor Ming (Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan) supaya mengubah pemikirannya seiring dengan jawatan yang disandang sebagai menteri KPKPT bukan di takuk pembangkang lagi.

Kedua, kata Dominic, kerajaan seharusnya berkomunikasi dengan cara yang telus dan terbuka dengan orang ramai dan jangan bertindak mengawal perbezaan pendapat awam.

“Gerakan menggesa KPKT untuk menghentikan rancangan pembaziran dana awam ini dan sebaliknya meningkatkan keberkesanan dan ketelusan maklumat untuk benar-benar memenangi kepercayaan rakyat.

“Tugas kerajaan adalah untuk berkhidmat kepada rakyat, bukan membazirkan sumber awam untuk mencipta kemakmuran palsu,” katanya.

Gerakan juga mendesak supaya audit dilakukan terhadap KPKT untuk memastikan setiap sen yang dibelanjakan benar-benar membawa manfaat kepada pembayar cukai dan bukan dibazirkan pada projek gajah putih. – MalaysiaGazette



Source link

OR

Scroll to Top