July 27, 2024

Gerakan minta polis teruskan siasatan pemandu e-hailing OKU dipukul

Gerakan minta polis teruskan siasatan pemandu e-hailing OKU dipukul


KUALA LUMPUR – Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) meminta supaya polis meneruskan siasatan berhubung pemandu e-hailing Orang Kurang Upaya (OKU) yang didakwa dipukul oleh pengawal peribadi.

Ketua Biro Hak Asasi Manusia parti itu, Chai Ko Thing berkata, kes tersebut tidak wajar ditutup begitu sahaja.

Ujarnya, perkembangan semasa ini berisiko membawa kepada keruntuhan kuasa keadilan jenayah dalam negara.

“Negara mempunyai undang-undang tertinggi yang memelihara kebajikan dan keselamatan setiap rakyatnya. Adalah menjadi tanggungjawab pihak berkuasa dan Kerajaan untuk memeliharanya.

“Dalam kes jenayah sebegini, adakah pihak polis mempunyai hak untuk meminta pengadu menyelesaikan atau tarik balik kes? Gerakan mendesak pihak polis untuk menyiasat kes ini dengan telus dan adil tanpa sebarang campur tangan luar dalam siasatan.

“Adakah masyarakat demokratik kita masih mempunyai harapan sistem yang dijanjikan oleh Perdana Menteri,” katanya menerusi kenyataan.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa mengesahkan bahawa pemandu kenderaan e-hailing yang mendakwa dipukul seorang pengawal keselamatan rombongan orang kenamaan di lobi sebuah hotel ibu negara pada Selasa lalu telah menarik balik laporannya.

Mengulas lanjut Chai menuntut beberapa penjelasan daripada pihak polis antaranya sebab individu berkenaan sekali lagi dipanggil ke balai polis.

“Malah telefon bimbitnya dirampas dan dibawa ke bilik yang tiada orang sehingga menunggu berjam-jam lamanya? Kedua, apabila mangsa meminta polis untuk mengembalikan telefon bimbitnya supaya boleh memaklumkan kepada keluarga, permintaannya didakwa ditolak seakan-akan mangsa adalah suspek jenayah,” soalnya.

Selain itu beliau turut menggesa supaya pihak berkuasa menjelaskan sebab yang membolehkan individu diminta ‘menyelesaikan dan menandatangani laporan yang baru’ apabila ke balai polis.

“Ketiga, mengapa tidak menyediakan penolong jurubahasa isyarat Malaysia yang diatur untuk membantu mangsa semasa membuat laporan atau siasatan dijalankan?

“Keempat, pengadu yang menjadi mangsa serangan pergi ke Balai Polis selepas kejadian, menunjukkan video dan mengesahkan kecederaannya, yang sudah pasti berkaitan dengan kes jenayah dan atas dasar kuasa apa polis boleh meminta mangsa ‘menyelesaikan dan menandatangani laporan yang baru’?,” soalnya.

Media melaporkan pemandu e-hailing berkenaan membuat laporan polis selepas mendakwa dipukul pengawal peribadi ketika menunggu penumpang di sebuah hotel di Brickfields, Selasa lalu.

Pemandu berusia 46 tahun itu mendakwa ditumbuk di kepala dan diminta untuk mengalihkan kenderaannya.

Susulan itu, mangsa kemudian membuat laporan polis selepas menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL).-MalaysiaGazette



Source link

OR

Scroll to Top